KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Anwar juga menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS.

"Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 - 5.5 peratus perlu disemak semula.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia," katanya menerusi hantaran video yang menyentuh mengenai tarif AS.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke AS pada minggu depan.

“Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindakan yang diselaraskan.

“Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor dijangka terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif," katanya.

Anwar berkata, semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara.

“Kerajaan Madani juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian kita - seperti yang digariskan pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan lain -lain untuk membina daya tahan ekonomi dan industri Malaysia,” kata beliau.

>? LAGIBERITA Dl MUKA 32.