KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan komited sepenuhnya mencari penyelesaian terbaik bagi memelihara dan memastikan akses KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan komited sepenuhnya mencari penyelesaian terbaik bagi memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain terus menarik pelaburan asing dan menyokong kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia.

Perdana Menteri mengakui kerajaan memahami kebimbangan, kerisauan dan kesulitan yang dihadapi pekerja, pengeluar dan perniagaan dalam sesetengah sektor susulan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara ini.

"Kami menegaskan tekad untuk mengatasi dan menyesuaikan diri dengan cabaran ini.

Jangan salah faham, kami memandang isu tarif ini dengan serius," katanya menerusi hantaran video mengulas tarif AS, hari ini.

Anwar juga memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh AS memandangkan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Perdana Menteri juga menegaskan, Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif balas terhadap AS.

"Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus perlu disemak semula.

"Bagaimanapun, buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia," katanya yang juga Menteri Kewangan sambil menambah asas makroekonomi negara masih kekal kukuh.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sebagai negara perdagangan terbuka, Malaysia menganggap keputusan unilateral AS mengenai tarif timbal balik itu sebagai ancaman besar kepada sistem perdagangan dan pelaburan global semasa.

Menegaskan tarif tambahan dikenakan ke atas setiap negara berdagang dengan AS itu sebagai penolakan terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), beliau berkata, kesan jangka sederhana hingga panjang akan mencabar.

"Tarif ini juga memberi kesan kepada hampir setiap rakan perdagangan dan pelaburan Malaysia dan juga kepada pertumbuhan ekonomi global.

"Walaupun ada beberapa pengecualian, sebahagiannya melindungi sektor semikonduktor, iaitu kategori eksport terbesar Malaysia ke AS, tarif baharu ini tetap akan memberi kesan buruk kepada banyak industri Malaysia termasuk tekstil, perabot, getah, dan plastik.

"Kerajaan MADANI memahami kebimbangan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi pekerja, pengilang dan perniagaan dalam sektor-sektor ini dan kami menegaskan tekad kami untuk mengatasi dan menyesuaikan diri dengan cabaran ini," katanya.

Mengulangi penegasan kerajaan mengambil serius isu tarif itu, Anwar berkata, alasan Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus disebabkan negara ini mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke sini dibuat dengan asas pengiraan yang cacat.

"Bagaimanapun, respons kami akan tetap tenang, tegas dan berpandukan kepentingan strategik Malaysia.

"Dalam semangat untuk mengekalkan hubungan positif dan progresif dengan semua rakan dagang, Kerajaan MADANI akan berusaha berunding dengan AS secara konstruktif.

"Ia untuk menjaga akses pasaran yang penting, memelihara keyakinan pelabur dan memastikan hasil yang adil untuk pengeksport kami.

Secara ringkasnya, kita mesti mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama, adil dan saksama untuk masalah ini," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menjelaskan, beberapa usaha ini sudah pun dimulakan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Luar Negeri sedang menganalisis impak secara terperinci.

Selain itu, menjalankan simulasi, berunding dengan pihak berkepentingan dalam pelbagai industri dan berkomunikasi secara langsung dengan rakan sejawat dalam kerajaan AS serta syarikat-syarikat AS yang telah lama beroperasi di Malaysia.

Beliau juga menegaskan, asas makroekonomi Malaysia tetap kukuh termasuk perbelanjaan isi rumah yang mantap, pelaburan domestik yang kuat, hasil pelancongan yang sihat dan pelaksanaan pelan induk negara yang berterusan.

"Oleh itu, asas ekonomi kita yang kukuh akan membolehkan kita mengharungi cabaran ini dari kedudukan yang kukuh dan bersedia," katanya.

Tambahnya, perdagangan Malaysia dibina atas rangkaian pelbagai rakan kongsi serantau dan global yang terjalin selama bertahun-tahun, termasuk melalui ASEAN, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik Komprehensif dan Progresif (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan rundingan sedang berlangsung dengan Kesatuan Eropah serta memperdalam hubungan di seluruh Global Selatan.

"Kerajaan juga sudah mengambil beberapa langkah awal untuk menangani kesan tarif ini, termasuk penubuhan Pusat Arahan Geo-ekonomi Nasional (NGCC), yang saya ketuai.

"Dalam minggu akan datang, MITI akan mengemukakan kajian mendalam mengenai kesan tarif ke atas beberapa sektor eksport ke AS.

Menteri MITI juga akan mengadakan mesyuarat maya dengan semua Menteri Ekonomi ASEAN untuk menyediakan respons ASEAN yang terkoordinasi.

"Kajian kesan ke atas sektor-sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan untuk sektor-sektor akan terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif.

Semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan kita," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan industri seperti digariskan dalam pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Jalan Aliran Tenaga Nasional (NETR) dan lain-lain untuk membina daya tahan ekonomi dan industri Malaysia jangka panjang.

"Di peringkat serantau, kita akan memperkukuh kerjasama dengan negara-negara jiran ASEAN, antara yang terkesan dengan tarif tertinggi oleh AS.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN akan memimpin usaha untuk mempersembahkan satu suara serantau yang bersatu, mengekalkan rantaian bekalan yang terbuka dan berdaya tahan dan memastikan suara kolektif ASEAN didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.

"Kita mesti mengakui bahawa pusingan tarif besar-besaran ini mungkin baru permulaan cabaran yang lebih besar di luar ekonomi.

Kita semua mesti bersedia secara mental untuk mengharungi potensi badai yang akan datang dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk memastikan kemakmuran kita berterusan.

"Tetapi kerajaan ini sedia untuk menangani dan mengurangkan cabaran terbabit.

Kami akan melakukannya, bukan sendirian dan bukan dengan cara konfrontasi, tetapi dengan kerjasama bersama rakan dan sahabat secara konstruktif.

"Yakinlah, Kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat, perniagaan dan pengeksport," katanya..