BETONG: Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg BETONG: Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bukti jelas kepimpinan beliau yang penuh visi dan komitmen kukuh terhadap kesejahteraan rakyat negeri ini.

Mengambil contoh pengenalan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang merupakan inisiatif untuk mentransformasi ekonomi Sarawak kepada ekonomi berasaskan teknologi mampan.

Menurut Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, melalui pelan ini Kerajaan Sarawak berusaha mempastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan bertanggungjawab, sekaligus memanfaatkan teknologi digital untuk menjana peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti, memperluaskan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan sosial.

Katanya, di bawah Bajet 2025, Kerajaan Sarawak juga telah memperkenalkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan kewangan bagi meringankan beban golongan sasar dalam mendepani kos sara hidup yang tinggi.

“Juga diperkenalkan, bantuan wang saku untuk anak Sarawak bernilai RM1200 yang sedang belajar di IPT.

“Selain itu, kerajaan juga meneruskan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak 30 peratus, meneruskan baucer buku RM500 serta inisiatif komputer riba percuma kepada keluarga B40.

“Pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak pula akan diperkenalkan pada tahun 2026, di lima IPT milik Sarawak iaitu Kolej Universiti ICATS, CENTEXS, UTS, Universiti Curtin dan Universiti Swinburne.

Fokus kepada bidang STEM, perakaunan dan perundangan.” Beliau berucap demikian semasa mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri Kampung Melayu Betong Tahun 2025/1446H, di sini pada Khamis lepas.

Jelasnya, semua inisiatif tersebut membuktikan Kerajaan Sarawak tidak hanya menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan manfaat dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Dato Dr Richard mengajak masyarakat majmuk di negeri ini khususnya di Betong agar terus mengukuhkan semangat persaudaraan dan perpaduan dalam semangat meraikan perayaan Aidilfitri.

“Sebagai masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan budaya, sentiasa jauhi perkara yang sensitif, seperti amalan agama yang ekstrem dan perkauman yang boleh menggugat keharmonian,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, beliau mengumumkan sumbangan RM20,000 daripada Datuk Amar Douglas kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri Kampung Melayu Betong.

Manakala, beliau sendiri turut menyumbang RM10,000 sebagai tambahan.

Selain itu, turut disampaikan sumbangan daripada Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) kepada lima surau, sebuah masjid dan dua persatuan dari Kampung Melayu Betong.

- EDISI UKAS.