| PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu dari Pakistan ke Malaysia terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim. PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu dari Pakistan ke Malaysia terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim. Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif. Dalam hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan sempat bertukar ucapan Aidilfitri dan mendoakan kebaikan buat rakyat kedua-dua negara sebelum berbincang terkait perihal hubungan dua hala Malaysia-Pakistan. Perdana Menteri turut menyatakan rasa sukacita dengan persahabatan kedua-dua negara yang kian erat ketika ini. Menurut Anwar, perkara itu telah membuka ruang untuk pelbagai kerjasama baharu diteroka terutama sewaktu pertemuannya dengan Shehbaz di Pakistan, Oktober tahun lalu. “Alhamdulillah, jumlah pelaburan Pakistan di Malaysia telah berkembang baik dan kini mencecah sekitar AS$397 juta. “Kami juga sempat menilai semula memorandum persefahaman yang dipersetujui sebelum ini terutama terkait pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta bidang sains. “Insya-Allah, kami sepakat mahu menyegerakan sebarang urusan tertunggak untuk segera merealisasikan kerjasama ini,” katanya dalam hantaran tersebut. Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, beliau dan Shehbaz juga sempat berbincang mengenai perkembangan di Semenanjung Gaza di mana Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata sekali gus menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin. “Kami sempat bertukar pandangan dan menyelaras idea tentang menghentikan keganasan dan pemulihan semula Gaza. “Saya menantikan kunjungan Shehbaz yang akan berkunung ke Malaysia buat pertama kali pada 9 Mei depan. “Mendoakan semoga keberkatan Ramadan dan Aidilfitri membawa rahmat buat hubungan persahabatan Malaysia-Pakistan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya. - Sinar Harian Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My. |