Gua Musang: Kira-kira 50 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar di sini membina semula jambatan yang runtuh buat kali kedua Isnin lalu.

Gua Musang: Kira-kira 50 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar di sini membina semula jambatan yang runtuh buat kali kedua Isnin lalu. Jambatan baharu yang menyeberangi Sungai Balar itu dibuat menggunakan kayu, buluh dan besi daripada jambatan gantung besi yang runtuh pada 9 Mac lalu akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Hanan Anjang berkata, penduduk bergotong-royong membina kembali jambatan terbabit kira-kira jam 10 pagi semalam dan siap kira-kira jam 1 petang.

"Jambatan ini kelihatan lebih kukuh apabila kami turut menggunakan besi daripada jambatan gantung besi yang terputus pada bulan awal lalu.

"Buat sementara ini, penduduk sudah boleh menggunakan jambatan ini dengan berjalan kaki atau motosikal.

Jambatan ini penting untuk kami menyeberangi Sungai Balar dan kegunaan guru-guru yang akan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar pada Sabtu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Hanan, bagaimanapun penduduk bimbang sekiranya jambatan baharu itu rosak dan musnah apabila paras air Sungai Balar meningkat kerana hujan.

Katanya, struktur jambatan yang diperbuat daripada kayu itu mungkin tidak sekukuh jambatan besi, tetapi ia boleh digunakan buat sementara kepada penduduk untuk keluar daripada pos terbabit untuk ke Bandar Gua Musang.

"Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sudah datang pada minggu lalu untuk membuat tinjauan dan mengukur jarak bagi membina jambatan baharu.

"Dijangka selepas sambutan hari raya, jambatan baharu akan dibina untuk kemudahan penduduk di sini," katanya.

Pada Isnin lalu media melaporkan jambatan kayu dan buluh yang dibina penduduk di tujuh Kampung Pos Balar seminggu lalu musnah apabila paras air Sungai Balar naik akibat hujan..