| Malaysia antara negara bertuah kerana dikurniakan sumber air semula jadi yang banyak, dengan purata taburan hujan melebihi 3,000 milimeter setiap tahun. Malaysia antara negara bertuah kerana dikurniakan sumber air semula jadi yang banyak, dengan purata taburan hujan melebihi 3,000 milimeter setiap tahun. Ironinya, negara terus berdepan gangguan bekalan air, kebocoran sistem paip dan pencemaran sungai yang menjejaskan kehidupan harian rakyat serta pembangunan ekonomi. Kita menyambut Hari Air Sedunia baru-baru ini, sekali gus perlu memberikan perhatian serius terhadap isu air ini. Ini kerana ia bukan lagi semata-mata keperluan domestik, bahkan menjadi komponen asas kestabilan negara, keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat. Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 menunjukkan kadar liputan bekalan air terawat di Kelantan hanya sekitar 73.9 peratus, iaitu antara terendah di negara ini. Negeri seperti Sarawak dan Sabah juga mencatatkan kelewatan dalam liputan perkhidmatan. Pada masa sama, purata kadar Air Tidak Berhasil (NRW) kekal tinggi pada paras 36.6 peratus. Di sesetengah negeri, NRW mencecah lebih 50 peratus. Ini bermaksud separuh daripada air dirawat hilang sebelum sampai ke pengguna. NRW memberi kesan langsung kepada keberkesanan operasi dan kelangsungan kewangan operator air. Ia juga menjejaskan kecekapan sumber kerana air sudah dirawat menggunakan tenaga, bahan kimia dan kos logistik namun tidak menghasilkan pulangan. Dalam jangka panjang, ini meningkatkan tekanan terhadap tarif dan pelaburan infrastruktur. Masalah tidak hanya tertumpu di kawasan luar bandar. Di Lembah Klang, lebih 30 gangguan bekalan besar dilaporkan sepanjang 2023, banyak daripadanya berpunca daripada pencemaran sumber mentah seperti Sungai Selangor yang menjadi nadi bekalan kepada jutaan pengguna. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, isu air berada di bawah Senarai Bersama, tetapi dengan pecahan kuasa yang kompleks. Sumber air mentah seperti sungai, tasik, kawasan tadahan dan air bawah tanah adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya perkhidmatan air seperti rawatan dan agihan dikawal selia oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Situasi ini mewujudkan jurang koordinasi yang kerap menghalang pelaksanaan pelan nasional. Walaupun Majlis Air Negara (MAN) sudah ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan, keberkesanannya masih perlu ditambah baik, terutama dalam menyatukan dasar antara negeri yang berbeza keutamaan politik dan strategi pembangunan. Beberapa negeri seperti Selangor dan Melaka menunjukkan kesungguhan dengan melabur dalam sistem pemantauan pintar dan pengurusan permintaan air. Namun, kejayaan jangka panjang memerlukan pendekatan sistematik dan menyeluruh, termasuk pengurusan lembangan sungai rentas sempadan negeri yang lebih bersepadu. Pada 1 Februari 2024, kerajaan memperkenalkan pelarasan tarif air domestik di Semenanjung dan Labuan, dengan kenaikan purata 22 sen per meter padu. Ini adalah pelarasan pertama dalam tempoh hampir dua dekad bagi sesetengah negeri. Tujuannya adalah untuk membolehkan operator melaksanakan pembaikan paip, penggantian infrastruktur usang dan pengurusan lebih cekap. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan pelarasan ini diluluskan atas permintaan kerajaan negeri sendiri. Menurut beliau, ada negeri yang tidak menyemak tarif air lebih 40 tahun. Kenaikan ini menunjukkan ia bukanlah soal politik, tetapi satu keperluan rakyat bagi mendapatkan akses air yang selamat dan berterusan. Sebagai pelengkap dasar jangka panjang, kerajaan turut melancarkan Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040) yang memperkenalkan lapan pemacu strategik termasuk pembiayaan alternatif, teknologi pintar, integrasi data, pengurusan risiko perubahan iklim, dan pendekatan Neksus Air-Tenaga-Makanan. AIR 2040 dijangka menjadi kerangka utama pembaharuan sektor air sehingga tahun 2040, dengan pelaksanaan mengikut fasa selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RM12 hingga Rancangan Malaysia Ke-15 (RM15). Ia turut mengetengahkan aspek kesedaran awam dan advokasi, bagi memastikan masyarakat lebih celik terhadap nilai air. Isu air tidak boleh lagi diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menjimatkan air, melaporkan kebocoran dan mengamalkan gaya hidup lestari. Pendidikan berkaitan air perlu diperluas dalam kurikulum sekolah, termasuk kefahaman mengenai jejak air (water footprint) dan penggunaan air tidak langsung. Penggunaan teknologi seperti meter pintar, sistem pungutan air hujan dan rawatan semula air kelabu wajar digalakkan di peringkat komuniti dan isi rumah. Pelaburan dalam inovasi dan penyelidikan dalam bidang teknologi air juga mesti disokong secara sistematik. Sempena Hari Air Sedunia ini, kita perlu mengakui air bukan sahaja keperluan asas, tetapi tonggak kestabilan dan kedaulatan negara. Negara tidak akan makmur jika bekalan airnya tidak terjamin. Justeru, pendekatan pengurusan air negara perlu berubah, sama ada dari reaktif kepada proaktif, dari teknikal kepada holistik. Dengan dasar yang tepat, struktur tadbir urus yang cekap, dan sikap masyarakat yang lebih bertanggungjawab, Malaysia boleh mencapai keselamatan air nasional yang mampan menjelang 2040. Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM). |