| GUA MUSANG: Jambatan kayu dan buluh yang dibina penduduk ditujuh Kampung Pos Balar seminggu lalu musnah apabila paras air Sungai Balar naik akibat hujan petang semalam. GUA MUSANG: Jambatan kayu dan buluh yang dibina penduduk ditujuh Kampung Pos Balar seminggu lalu musnah apabila paras air Sungai Balar naik akibat hujan petang semalam. Pada 9 Mac lalu, jambatan besi Sungai Balar runtuh apabila paras air meningkat, menyebabkan lebih 400 penduduk terputus hubungan. Susulan itu, penduduk bergotong royong membina jambatan daripada kayu dan buluh untuk kegunaan sementara penduduk dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Hanan Anjang, jambatan itu siap dibina kira-kira seminggu lalu dan digunakan oleh penduduk kampung untuk menyeberang Sungai Balar. Katanya, selain digunakan penduduk untuk ke kampung seberang bagi membeli barangan makanan, ia turut digunakan murid -murid sekolah untuk ke SK Balar. "Sejak jam dua hingga enam petang semalam hujan lebat meyebabkan paras air Sungai Balar naik dan memusnahkan jambatan yang kami bina," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Menurut Hanan, kejadian terbabit menyebab 10 kampung terputus hubungan dan menimbulkan keresahan kepada hampir 400 penduduk. Katanya, kini tujuh kampung tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang untuk membeli barangan makanan, manakala penduduk di tiga kampung pula tidak dapat menghantar anak ke sekolah. Kampung yang terjejas termasuk Kampung Telur, Kampung Perawas, Kampung Manjul, Kampung Balar Lama, Kampung Tembaga, Kampung Dakoh dan Kampung Peng. "Selain itu tiga kampung lagi iaitu Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag berdepan masalah menghantar anak ke sekolah selain guru yang pulang mengajar selepas habis bercuti terpaksa mengharungi air Sungai Balar," katanya. Menurut Hanan, penduduk mungkin akan membina kembali jambatan terbabit, namun tetap mengharapkan bantuan pelbagai pihak untuk membina jambatan yang lebih kukuh. "Walaupun ada jalan alternatif dengan melalui Pos Belatim dan Pos Bihai namun perjalan jauh kami terpaksa tempuh selain terdapat risiko keselamatan yang membabitkan serangan haiwan liar," katanya. Terdahulu pada 9 Mac lalu media melaporkan Hampir 400 penduduk dari tiga kampung di Pos Balar, dekat sini terputus hubungan apabila jambatan gantung besi Sungai Balar yang menghubungkan kampung itu terputus akibat banjir. Susulan itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataan berkata, akan menyegerakan pembinaan baharu jambatan Sungai Balar yang terputus akibat banjir untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal. Menurut JAKOA, jambatan besi yang terputus itu sudah termasuk dalam senarai perancangan untuk dibaik pulih bagi tahun ini.. |