MIRI: Program Jualan RAHMAH (PJR) terbukti sangat berkesan dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah, dengan potongan sehingga 30 peratus daripada harga pasaran.

MIRI: Program Jualan RAHMAH (PJR) terbukti sangat berkesan dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah, dengan potongan sehingga 30 peratus daripada harga pasaran. Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri atas usaha berterusan menganjurkan program itu secara konsisten setiap bulan di seluruh kawasan Parlimen Miri.

"Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk meringankan beban kewangan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup," jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Chiew berkata, setiap kali menjelang musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Krismas, PJR dianjurkan dalam skala yang lebih besar agar lebih ramai penduduk Miri dapat menikmati manfaatnya.

Pada Sabtu dan Ahad, PJR telah diadakan di 11 lokasi di seluruh bahagian Miri, dan lima daripadanya berlangsung dalam kawasan Parlimen Miri Antara lokasi adalah Seahorse King (PJRM Khas) bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, Everrise Boulevard (PJRM Khas Raya) pada jam 9:30 pagi hingga 1:30 pagi, SL Speedmart Bypass bermula jam 8:30 pagi hingga 8:30 malam, Easy Go Vista Perdana (PJRM Khas Raya) bermula jam 9 pagi hingga 8 malam dan pekarangan Masjid At-Taqwa dikendalikan Nam Leong Department Store Sdn.

Bhd pada Sabtu sahaja.

Chiew yakin usaha itu membuktikan bahawa Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar prihatin terhadap kesejahteraan rakyat, termasuk rakyat Sarawak.

"Komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan rakyat Sarawak tidak dipinggirkan jelas terbukti melalui pelaksanaan program seperti Jualan RAHMAH ini yang memberi manfaat terus kepada rakyat di peringkat akar umbi," jelasnya.

Sebagai wakil rakyat, beliau komited untuk terus bekerja keras membawa lebih banyak program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di Miri..