KOTA KINABALU: Gesaan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengajak seluruh rakyat di negeri ini supaya bersama-sama mengekalkan perpaduan merupakan satu usaha yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri.

KOTA KINABALU: Gesaan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengajak seluruh rakyat di negeri ini supaya bersama-sama mengekalkan perpaduan merupakan satu usaha yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri. Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin berkata apa yang disarankan oleh Ketua Menteri wajar diamati bukan sahaja ketika musim perayaan tetapi juga perlu diteruskan sepanjang masa.

Beliau berkata, ia merupakan satu mesej yang penting bagi memastikan seluruh rakyat Sabah kekal bersatu tanpa mengira bangsa dan agama demi mengekalkan keharmonian, yang merupakan tunjang kekuatan rakyat di negeri ini sejak dahulu.

"Saranan beliau (Hajiji) sangat tepat dan penuh dengan nilai murni.

Dalam perutusan beliau sempena Hari Raya yang bakal menjelang, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah untuk kekal bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama.

"Ini adalah mesej yang amat penting, terutamanya dalam konteks semua rakyat yang ada di negeri ini, yang kaya dengan pelbagai suku kaum dan budaya.

"Masa yang sangat tepat seperti Hari Raya Aidilfitri akan mengingatkan kita tentang nilai kesabaran, ketabahan, dan semangat tolong-menolong, adalah langkah yang sesuai untuk memupuk perpaduan.

"Semangat ini mesti diteruskan bukan hanya dalam musim perayaan, tetapi juga sepanjang masa," katanya ketika menghubungi Utusan Borneo bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri pada Sabtu.

Tambah Shahril, apabila rakyat membentuk kerjasama dan semangat kekitaan yang utuh, ia secara tidak langsung berupaya bukan sahaja memperkukuhkan ikatan tetapi juga mempercepatkan pembangunan negeri yang diyakini akan memberi manfaat yang cukup besar kepada rakyat.

"Dengan menyokong satu sama lain serta membantu golongan yang kurang bernasib baik, kita dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Mudahan semangat perpaduan ini terus berkembang, dan kita semua boleh menyumbang kepada kemajuan negeri dengan memberi fokus kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

"Justeru marilah kita memanfaat setiap peluang demi kepentingan bersama bagi mencapai kejayaan yang jauh lagi besar yang akan memberi impak yang signifikan dalam kehidupan mendatang," katanya..