Klang: Kerajaan memberi jaminan bekalan keperluan barangan asas di seluruh negara mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata walaupun kementeriannya ada menerima laporan ketidakcukupan bekalan, jumlahnya tidak banyak.

“Ada kelompangan satu dua (kawasan) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak segera untuk lokaliti yang mengalami masalah. la tidak banyak.

“Tahtm ini aduan itu amat kurang. Semua (bekalan) sampai kepada pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dalam menyokong usaha kerajaan memastikan harga barangan pada tahun ini terkawal dan berada pada paras yang agak rendah.

Mengenai program Semarak Syawal, beliau berkata, sebanyak RM16 juta nilai jualan direkodkan setakat semalam yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara, bermula 22 Mac lalu.

Selain di Pasar Tani Taman Sri Andalas, katanya, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul MADANI Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.

“FAMA terus komited dalam memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan, di samping memperkukuhkan peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani dan usahawan tempatan. Inisiatif ini juga sejajar usaha kerajaan dalam memperkasakan keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Di Johor Bahru, permintaan santan segar untuk Aidilfitri di negeri ini melonjak lebih dua kali ganda walaupun harganya berada di paras tertinggi, ketika ini.

Tinjauan di pasar awam sekitar Perling dan Tampoi di sini, menyaksikan orang ramai beratur panjang sejak awal pagi bagi mendapatkan bekalan santan segar yang dijual pada harga RM17 sekilogram.

Selain santan segar, pengguna turut membeli kelapa parut yang dijual pada harga RM13 sekilogram dalam jumlah besar untuk kegunaan masakan sempena hari raya.

Peniaga santan di Pasar Awam Perling, Shaiffulizah Musa, 51, berkata 28 tan kelapa disediakan untuk jualan sempena Aidiliitri kali ini bermula Selasa, lalu.

Katanya, dia dan suami, Yusri Abdul Hamid, dibantu lima pekerja mula memproses kelapa untuk dijadikan santan dan kelapa parut, mulai selepas sahur sejak Selasa lalu.

“Tahun ini memang ramai pengguna nak beli santan, mereka mula beratur selepas Subuh dan tidak berkurang sampailah tengah hari.

“Kebanyakan pengguna beli antara tiga hingga lima kilogram (kg) santan segar seorang, manakala kelapa parut antara satu hingga lima kg setiap orang,” katanya.

Dalam pada itu, kakitangan awam, Nor Rafidah Abdul Wahab, 47, bersyukur masih dapat bekalan santan segar Aidilfitri kali ini walaupun terpaksa beratur panjang.

“Harga santan segar kali ini agak mahal berbanding antara RM8 hingga RM9 sekilogram, tahun lalu. Bagaimanapun, saya terpaksa beli juga sebab nak masak hidangan wajib Aidilfitri iaitu rendang, lodeh dan sambal jawa,” katanya.

Di Kota Bharu, harga sayuran di negeri ini meningkat hingga tiga kali ganda berikutan kekurangan bekalan sempena musim perayaan.

Tinjauan di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati beberapa jenis sayur seperti timun dijual RM6 sekilogram berbanding sebelum ini RM4, kacang panjang daripada RM8 kepada RM12 sekilogram, terung daripada RM6 kepada RM8 sekilogram, manakala cili padi pula RM10 kepada RM14 sekilogram.

Selain itu, petola dijual RM8 sekilogram berbanding sebelum ini RM2 dan bendi RM6 kepada RM10 sekilogram.

Peniaga, Siti Zawiah Wahab, 39, beberapa jenis sayur dijual mengalami peningkatan antaranya timun, kacang panjang, terung, dan cili padi sejak dua hari lalu..