| PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dinasihatkan menghentikan usaha menjatuhkan kerajaan, termasuk memujuk UMNO untuk berpaling tadah bagi membentuk kerjasama politik baharu. Bekas pemimpin Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tindakan parti itu mengajak UMNO bekerjasama hanya bertujuan melemahkan Kerajaan Perpaduan. Katanya; Bersatu seharusnya memohon untuk melakukan kerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan politik negara stabil dan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat dapat diteruskan. “Apa tujuan mereka mahu bergabung? Jika benar ikhlas, lebih baik terus bekerjasama dengan Perdana Menteri, bukan hanya dengan UMNO untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia. Sebelum ini, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan UMNO, meskipun sebelum ini kedua-dua parti itu bermusuhan. Hamzah berpendapat bahawa tiada lagi sebab untuk UMNO dan Bersatu terus berpecah kerana kedua-duanya berkongsi wadah perjuangan yang sama. Syed Abu Hussin menegaskan tiada keperluan bagi Bersatu menjalinkan kerjasama dengan UMNO, kerana kerajaan hari ini dibentuk melalui gabungan UMNO, Pakatah Harapan (PH>, dan beberapa parti -lain. “Kenapa nak dengan UMNO? Mereka tiada kuasa sekarang, yang ada kuasa adalah kerajaan hasil kerjasama UMNO, Pakatan Harapan (PH) dan beberapa gabungan parti politik lain. “UMNO kini sebahagian daripada kerajaan, bukannya pembangkang. Jadi, apa logiknya Bersatu mahu bergabung dengan UMNO jika bukan untuk menjatuhkan kerajaan?” katanya. Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menyarankan agar Bersatu memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan bukan sekadar mengejar kuasa politik. “Jangan buang masa, ada dua tahun setengah lagi. Lebih baik kita memberikan sokongan kepada kerajaan supaya rakyat dapat dibela, ekonomi dimajukan dan menurunkan kos sara hidup,” katanya.. |