| Alor Gajah: Tiada kata mampu menggambarkan perasaan pasangan suami isteri apabila mendapat rumah percuma menerusi inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Alor Gajah: Tiada kata mampu menggambarkan perasaan pasangan suami isteri apabila mendapat rumah percuma menerusi inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Kasmah Abdul Malik dan suaminya, Muhammad Khairul Amir Ab Mutalib, kedua-duanya berusia 34 tahun menganggap rumah baru itu adalah hadiah hari raya paling bermakna bagi mereka. Menurut Kasmah, sejak berkahwin lima tahun lalu, mereka mengimpikan kediaman sendiri lalu mendaftar dengan Lembaga Perumahan Melaka. Bagaimanapun, katanya, impian itu tergendala apabila suaminya disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik dan terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang pada 2022. "Mulanya kami menyewa di Taman Kebaya, Paya Datok, namun terpaksa berpindah ke rumah abang saya apabila suami sakit, dan berpindah sekali lagi apabila abang pula mahu duduk di situ. "Ketika itulah saya nekad memohon bantuan rumah PPRS ini dan sementara menunggu kelulusan, kami menumpang di rumah mentua di taman sama sejak 2023 hingga kini," katanya. Kasmah berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Brisu, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Mohd Hafiz Dain, Penghulu Kawasan DUN Taboh Naning Ali Hassan Ahmad Shamsudin dan Pegawai Projek Khas GiatMara Melaka Shamsudin Yahaya. Menurutnya, dia tidak menyangka dalam tempoh dua tahun permohonan diluluskan kerana difahamkan ada pemohon terpaksa menunggu lapan hingga 10 tahun untuk mendapat rumah PPRS. "Alhamdulillah, selepas bermacam dugaan akhirnya permohonan kami diluluskan dan penghulu minta sediakan tapak rumah pada November lalu dan kos pembinaan ditanggung kerajaan. "Akhir Disember lalu, kontraktor mulakan kerja-kerja buat 'beam' dan pembinaan sepenuhnya bermula 27 Januari lalu. "Syukur, dapat rumah percuma ini dalam keadaan suami sakit dan perlu dialisis tiga kali seminggu. Hanya perlu bayar bil air dan elektrik selain kipas dan lampu juga disediakan," katanya. Mereka merancang berpindah ke kediaman baharu selepas Aidilfitri kerana perlu mengemas banyak barangan dan kelengkapan rumah terlebih dahulu. Sementara itu, Zulkiflee berkata, rumah PPRS itu berharga RM79,000 dengan pembinaannya dipantau rapi oleh GiatMara. "Rumah ini berjaya siap sebulan lebih awal daripada tarikh dijadualkan pada 26 April ini," katanya.. |