KOTA TINGGI - Penduduk di Kampung Orang Asli Pelcra Sungai Layau, di sini, berharap jalan utama di kampung itu yang runtuh akan dapat disiapkan sebelum kedatangan Syawal.

Tok Batin Kampung Orang Asli Felcra Sungai Layau, Ramli Nekmat berkata, ini kerana ada anak perantau sudah memaklumkan tidak akan pulang ke kampung jika laluan tersebut tidak boleh dilalui.

Katanya, ramai antara mereka yang merantau ke luar Johor sehingga menyebabkan ibu-ibu di kampung mula merasa hiba apabila mengenangkan tidak dapat bersama anak-anak pada pagi raya.

“Anak-anak perantau memberitahu kalau laluan tidak boleh dilalui memang mereka tidak akan balik raya. Mereka ini duduk di Perak, Melaka dan lain-lain negeri,” katanya di sini semalam.

Katanya, dia berharap isu laluan utama yang runtuh itu dapat diatasi segera.

“Malah, penduduk sendiri terkandas selama tiga hari kerana kenderaan ringan tidak boleh melepasi laluan alternatif yang turut dinaiki air banjir.

“Jalan utama yang runtuh ini amat penting kerana laluan itu tidak dinaiki air banjir kecuali berlaku hujan lebat dan pertembungan air pasang,” katanya.

Terdahulu, hampir 300 penduduk terputus hubungan selepas jalan utama ke kampung berkenaan runtuh ekoran hujan lebat minggu lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, Pejabat Daerah Kota Tinggi dan agensi-agensi terlibat telah bermesyuarat mengambil langkah-langkah untuk kemudahan penduduk antaranya jalan alternatif sepanjang satu kilometer akan ditambak oleh pihak Felcra dan JAKOA semalam.

“Pembetung sementara akan dibina pihak SAFWA selain permohonan peruntukan untuk membina jambatan baharu telah dibuat kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

“Saya bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor juga telah menghantar bantuan beras di setiap rumah di kampung itu memandangkan penduduk tidak boleh keluar membeli keperluan harian,” tambahnya..