TAPAH: Kerajaan Perak telah menyerahkan senarai nama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu.

TAPAH: Kerajaan Perak telah menyerahkan senarai nama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu. Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ia berikutan tempoh kontrak Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, dijangka tamat esok.

"Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) boleh dipinjamkan (ke jawatan lain) maksimum lima tahun saja dan Datuk Bandar (sekarang) telahpun tamat (kontrak) lima tahun.

"Walaupun kita sudah menghantar cadangan kepada JPA untuk (kontrak) disambung tetapi JPA tidak bersetuju.

"Jadi, kita tunggu orang baharu yang akan dihantar," katanya pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Perak Siri Ke-2 Tahun 2025 di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Rumaizi, 50, dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh berkuat kuasa 1 April 2020.

Beliau adalah anak jati Ipoh dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Pentadbiran dan Pengurusan Tanah dari Universiti Teknologi Malaysia.

Sementara itu mengulas mengenai HBP pula, Saarani berkata, sebanyak 98 aduan diterima daripada orang ramai, hari ini.

Sejak siri pertama HBP tahun ini, beliau berkata, 138 aduan telah diterima dengan 118 berjaya diselesaikan, manakala 20 lagi masih dalam tindakan susulan.

"Kerajaan negeri komited memastikan setiap aduan diberikan perhatian serius serta diselesaikan dengan segera dan tuntas demi kesejahteraan rakyat," katanya..