| KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) yang diberi kontrak membekal pakaian seragam dan kasut sekolah percuma di Sabah dikatakan gagal mengeluarkan pakaian berkualiti sehingga ditamatkan kontrak. KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) yang diberi kontrak membekal pakaian seragam dan kasut sekolah percuma di Sabah dikatakan gagal mengeluarkan pakaian berkualiti sehingga ditamatkan kontrak. Pengerusinya, Datuk Ellron Angin, berkata ramai ibu bapa mendakwa pakaian seragam dikeluarkan koperasi itu kepada murid sekolah rendah di negeri ini tidak selesa dipakai. Berikutan itu, katanya kerajaan negeri meminta pengurusan KOSAN menjalin kerjasama dengan syarikat yang berkelayakan bagi mengeluarkan pakaian yang lebih baik dan selesa dengan diberi tempoh hingga September tahun lalu untuk melaksanakan perkara itu. Ketika itu kontrak KOSAN dengan kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) diteruskan selama dua tahun, iaitu hingga akhir tahun ini, namun disebabkan gagal menjalin kerjasama dengan syarikat lain, kontrak itu terpaksa ditamatkan. Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin (tengah) selaku Pengerusi Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) menjelaskan isu dihadapi koperasi itu pada sidang media di Kota Kinabalu semalam. - Foto KBS Sabah "Selepas kontrak itu tidak disambung, KOSAN pada 14 Oktober 2024 mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan 230 kakitangan dan pekerja di ibu pejabat, perusahaan pakaian Tuaran dan perusahaan kasut di Papar sekali gus menutup operasi dua kilang," katanya pada sidang media mengenai isu KOSAN dan nasib bekas pekerjanya, semalam. Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol. Bagaimanapun, Ellron berkata kerajaan negeri pada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam memutuskan memberi peluang kepada KOSAN meneruskan kontrak mengeluarkan pakaian seragam hingga akhir tahun ini. Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, berkata langkah itu bagi memastikan pekerja yang diberhentikan dapat diambil semula sejajar pendirian kerajaan yang bersimpati terhadap keadaan dihadapi 230 pekerja terbabit. "Kita ada bincang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa kita masih lagi memberi peluang kepada KOSAN, tapi koperasi itu perlu melaksanakan rombakan bagi memperbaiki keadaan syarikat," katanya. KOSAN diberi kontrak untuk mengeluar dan membekal pakaian seragam serta kasut sekolah percuma kepada kira-kira 287,000 murid di seluruh Sabah setiap tahun. Kontrak itu diberikan sejak era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) yang mentadbir dari 1976 hingga 1985 dan berterusan hingga kerajaan negeri yang ada sekarang, iaitu sudah hampir 50 tahun.. |