Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri''ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Pahang menyambut lebaran dengan kesederhanaan, kewaspadaan dan kasih sayang.

Baginda bertitah, saban tahun pembaziran makanan sering berlaku, dengan 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang Ramadan pada 2023, dan angka itu meningkat menjelang Aidilfitri.

“Ingatlah, setiap sen dibelanjakan berlebihan, setiap juadah dibazirkan bukan cerminan Islam sebenar,” titah baginda melalui kenyataan dikongsi di laman sosial Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum, Pekan yang dimasyhurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan pada Isnin.

Baginda juga mengingatkan rakyat mengutamakan keselamatan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Jadilah pemandu yang berhatihati dan tidak mementingkan diri. Aidilfitri seharusnya mempertemukan kita dengan tersayang, bukan meninggalkan mereka dalam tangisan.

“Berpada-padalah dalam berbelanja, berhati-hati dalam bergaya, utamakan keselamatan, hargai keluarga dan insan tersayang, kerana itulah sebenar-benar makna hari raya,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas usaha mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM21.69 juta kepada lebih 35,000 penerima termasuk asnaf, institusi masjid, pusat pengajian dan saudara baharu.

Titah baginda, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya golongan memerlukan dan sebagai sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan.-Baginda turut bertitah mengenai kewajipan zakat titrah yang sering dipandang ringan.

“la bukan sekadar Rukun Islam tetapi lambang keprihatinan sosial Islam yang perlu dipandang serius.

“Saya menyeru seluruh umat Islam di negeri ini menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sebagai satu ibadah menyucikan jiwa dan melengkapi amalan Ramadan," titah baginda.

Baginda bertitah, semoga zakat ditunaikan menjadi sumber keberkatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan rakyat jelata..