| BILANGAN penduduk dunia terkini mencecah 8.2 bilion dan isu perubahan iklim menjadi cabaran besar dalam menyediakan keperluan harian serta memastikan kesejahteraan manusia. BILANGAN penduduk dunia terkini mencecah 8.2 bilion dan isu perubahan iklim menjadi cabaran besar dalam menyediakan keperluan harian serta memastikan kesejahteraan manusia. Saban hari sering saja terdengar isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga bahan mentah atau produk makanan yang turut berpunca daripada perubahan cuaca serta kenaikan kos tanaman dan pengeluaran. Namun sedar atau tidak, kemajuan bioekonomi bertunjangkan industri bioteknologi dan teknologi berasaskan bio banyak membantu mendepani cabaran ini. Hasil kajian, penyelidikan dan pengkomersialan inovasi, bidang ini banyak membantu aspek keterjaminan makanan, memudah dan mempercepatkan proses serta mengurangkan kos penghasilan dan pengeluaran oleh pengusaha atau syarikat terbabit dalam rantaian bioekonomi. Bagaikan serampang dua mata, bidang ini turut menangani isu pembaziran dan pengurusan sisa, sekali gus menyokong gaya hidup mampan lebih sihat dan hijau. Bayangkan apa berlaku jika bioteknologi dan teknologi berasaskan bio tidak berkembang sejajar pertambahan manusia, termasuk di Malaysia, yang penduduknya kini mencecah 34 juta orang. Ketika Ramadan dan Syawal, permintaan terhadap bekalan pelbagai jenis bahan mentah bagi proses penyediaan makanan meningkat ketara. Begitu juga keperluan kepada bahan pembungkusan juadah berbuka dan hari raya berikutan pertambahan aktiviti jual beli juadah, khususnya di bazar Ramadan, sekali gus menyebabkan isu pengurusan sisa jauh lebih mencabar termasuk akibat pembaziran. Situasi sama juga berlaku ketika musim perayaan lain. Secara keseluruhan, Malaysia dilaporkan antara empat negara tertinggi di Asia Tenggara selepas Laos, Thailand dan Kemboja, dalam masalah pembaziran makanan dengan 81 kilogram (kg) per kapita setiap tahun. Justeru, bagaimana bidang ini dapat membantu? Ia menukar sisa kepada sumber baharu atau sesuatu bermanfaat berkait keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat, termasuk kesihatan. Melalui teknologi berasaskan bio contohnya, larva Black Soldier Fly (BSF) digunakan untuk mengurai sisa organik dan menghasilkan sumber protein alternatif industri makanan haiwan seperti ayam dan lembu serta menghasilkan baja organik. Ternakan ini kemudian dijadikan juadah raya. Kitar semula sebagai baja organik Sisa makanan daripada juadah pula boleh dikitar semula sebagai baja organik atau dijadikan makanan untuk larva BSF, sekali gus melengkapkan kitaran bioekonomi mampan dan mengurangkan pembaziran. Baja bio dihasilkan daripada sisa pertanian dan mikrob membantu meningkatkan kesuburan tanah, hasil tanaman dan mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia serta kesan buruk terhadap alam sekitar. Kesannya menghasilkan bahan makanan berkualiti tinggi dan sihat bagi juadah tradisional raya seperti beras untuk dibuat ketupat dan lemang serta sayur segar bagi hidangan seperti lodeh. Melalui sektor perindustrian bio, inovasi bioplastik dan pembungkusan biodegradasi seperti sisa jerami padi yang boleh terurai semula jadi dapat digunakan bagi pembungkusan kuih raya. Kaedah ini mengurangkan sisa plastik di tapak pelupusan berbanding pembungkusan kuih raya yang biasanya menggunakan plastik sekali guna yang menyumbang kepada pencemaran. Sisa juadah raya termasuk tulang, kulit buah dan sayur boleh diuruskan melalui teknologi pengkomposan inovatif yang menukar sisa makanan kepada kompos berkualiti tinggi dalam tempoh singkat. Ini mengurangkan jumlah sisa dibuang ke tapak pelupusan, selain menyumbang kepada pertanian mampan dengan menghasilkan baja organik boleh digunakan semula. Dalam konteks penjagaan kesihatan bio, pengambilan suplemen posbiotik atau minuman probiotik seperti kefir dan kombucha selepas menikmati juadah raya berat membantu meningkatkan pencernaan. Suplemen kesihatan serta makanan dan minuman berfungsi seperti minuman moringa serta bijirin buah kering berasaskan bio juga menyokong kesejahteraan sepanjang perayaan. Bagi memastikan penampilan berseri dan sihat, produk kesejahteraan dan suplemen makanan berasaskan sumber semula jadi seperti nanas, durian belanda dan sarang burung berperanan mengekalkan hidrasi serta menyokong kesihatan dan kecantikan kulit. Bioekonomi menjana pertumbuhan ekonomi dan memupuk gaya hidup sihat dan bertanggungjawab tanpa mengorbankan kemeriahan perayaan. Di negara ini, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), berperanan memberikan sokongan dan bimbingan menyeluruh dalam industri bioteknologi dan teknologi berasaskan bio dalam merealisasikan matlamat Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0). Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd. |