ANTARA perkara yang masih menghantui indeks kesejahteraan rakyat dalam beberapa dekad ini adalah peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun.

ANTARA perkara yang masih menghantui indeks kesejahteraan rakyat dalam beberapa dekad ini adalah peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun. Sebagai contoh, 545,630 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada 2022, meningkat berbanding 418,237 kes pada 2021.

Sebanyak 532,125 nahas jalan raya direkodkan sejak Januari hingga Oktober 2024.

Kajian terbaru sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati jumlah kemalangan semakin meningkat sejak 2012.

Kajian ini memberi gambaran jelas mengenai punca utama kemalangan dan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kejadian tidak diingini ini.

Kenderaan paling banyak terbabit kemalangan jalan raya ialah motosikal.

Pada 2022 sahaja, sebanyak 4,379 kematian akibat kemalangan motosikal dicatatkan, merangkumi hampir 65 peratus daripada keseluruhan kes kematian jalan raya.

Walaupun jumlah kemalangan menurun ketika pandemik COVID-19 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), angka ini kembali meningkat pada 2022.

Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 157,000 kes, diikuti Johor (80,978), Kuala Lumpur (59,332), Pulau Pinang (38,334) dan Perak (37,712).

Perlis pula mencatat jumlah kemalangan paling rendah, 3,174 kes sepanjang tahun.

Kelihatannya, negeri mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan jaringan jalan raya yang sibuk lebih cenderung merekodkan kemalangan.

Selangor dan Johor antara negeri mencatat kadar kemalangan tinggi berikutan jumlah pengguna jalan yang ramai serta kesesakan lalu lintas berterusan di negeri berkenaan.

Antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini ialah memandu laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong secara berbahaya dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Langkah kurangkan nahas jalan raya Walaupun jumlah kemalangan meningkat, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan.

Data menunjukkan pada 2022, sebanyak 6,080 kematian direkodkan berbanding 6,284 kes pada 2021.

Penurunan ini berkemungkinan hasil pelaksanaan langkah keselamatan seperti penguatkuasaan undang-undang lebih ketat, kempen kesedaran serta penambahbaikan infrastruktur jalan raya dilaksanakan menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM).

Kejayaan inisiatif seperti pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan pelaksanaan had laju lebih ketat, membantu mengurangkan kemalangan maut.

Bagi mengurangkan nahas jalan raya, beberapa langkah pencegahan perlu dilaksana.

Antaranya, pemandu perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memandu serta sentiasa mematuhi had laju dan peraturan jalan raya.

Penunggang motosikal patut lebih disiplin memakai peralatan keselamatan seperti jaket pantul cahaya dan topi keledar berkualiti tinggi.

Sistem kawalan kesesakan lalu lintas juga perlu lebih giat dilaksanakan bagi mengawal aliran trafik dan menjadikannya lebih lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan dan kemalangan.

Selain itu, kempen kesedaran perlu diperkasakan supaya pengguna jalan raya lebih berwaspada dan bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Peningkatan penggunaan teknologi seperti sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) dalam kenderaan juga boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Kajian penyelidik USM dan MIROS ini membuktikan kemalangan jalan raya boleh dikurangkan melalui usaha bersama.

Dengan lebih banyak langkah pencegahan serta sokongan padu daripada kerajaan dan masyarakat, keselamatan di jalan raya boleh ditingkatkan serta lebih banyak nyawa boleh diselamatkan.

Perlu disedari, keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab semua pihak dan komitmen berterusan diperlukan untuk memastikan jalan raya di negara kita lebih selamat untuk semua.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Sains Malaysia.