TENOM: Pihak pengurusan GIATMARA Keningau menyantuni pelajar-pelajar Madrasah Tahfiz Ar-Raudhah Tenom sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

TENOM: Pihak pengurusan GIATMARA Keningau menyantuni pelajar-pelajar Madrasah Tahfiz Ar-Raudhah Tenom sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba. Pengurus Pusat GIATMARA Keningau, Jamidol Alip berkata, pihaknya turut mengagihkan sumbangan berbentuk makanan serta sedikit sumbangan duit raya kepada pelajar tahfiz dalam Program Semarak Kasih Ramadan itu.

“Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan nilai kemasyarakatan dan tanggungjawab dalam diri setiap anggota kerja GIATMARA terhadap masyarakat.

“Selain itu, program ini dijalankan untuk memperkenalkan kemahiran yang dijalankan di GIATMARA kepada masyarakat supaya mereka tahu dan faham keberhasilan proses pendidikan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sistem pendidikan MARA,” katanya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua anggota kerja GIATMARA Keningau dengan dedikasi dan komitmen dalam menjayakan program kali ini.

“Tidak dilupakan juga kepada semua pihak yang memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga, masa, mahupun sumber, terima kasih yang tidak terhingga daripada kami.

“Tanpa sokongan dan usaha semua pihak, program ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Terima kasih sekali lagi dengan keprihatinan dan semangat yang ditunjukkan, semoga program ini memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua, di samping menyemai rasa belas ihsan dan syukur atad rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, terutamanya di bulan Ramadan yang penuh barakah ini,” katanya..