| TAPAH - Barisan Nasional (BN) tiada masalah berdepan dengan mana-mana calon termasuk dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kehadiran PSM di DUN Ayer Kuning bukan perkara baharu kerana parti itu pernah meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Bagaimanapun pada PRU15 itu, PSM yang diwakili Bawani KS memperoleh 586 undi berada di kedudukan keempat dan hilang wang deposit dalam pertandingan lima penjuru yang dimenangi BN. “Jadi tidak mengapa, sesiapa sahaja yang mahu bertanding, kita bersedia untuk berhadapan dengan mereka,” katanya se-_ lepas Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Batang Padang dan Muallim di sini pada Sabtu. Terdahulu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dalam satu kenyataan pada Sabtu mengumumkan partinya akan meletakkan calon mereka pada PRK DUN Ayer Kuning. Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut memaklumkan bahawa BN telah meminda tarikh pengumuman calon mereka dari 5 April kepada 7 April. Katanya, perubahan tarikh itu dibuat kerana 5 April merupakan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani di Melaka. Menurutnya, pengumuman calon BN itu akan dibuat sendiri oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.. |