| MOSCOW: Lebih 65,000 rakyat Kanada telah menandatangani petisyen menggesa supaya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, diisytiharkan sebagai 'persona non grata', menurut bahagian laman web Parlimen untuk petisyen. MOSCOW: Lebih 65,000 rakyat Kanada telah menandatangani petisyen menggesa supaya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, diisytiharkan sebagai 'persona non grata', menurut bahagian laman web Parlimen untuk petisyen. 'Persona non grata' ialah istilah bahasa Latin yang bermaksud 'orang tidak diingini.' Petisyen itu dilancarkan pada 20 Februari lalu dengan menyifatkan Trump sebagai 'penjenayah yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman' dan 'pemberontak' yang berulang kali membuat ancaman terhadap Kanada. Petisyen itu menyelar tindakan Trump yang didakwa menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan Kanada, serta meminta supaya Presiden AS itu diharamkan memasuki negara terbabit. Setakat jam 10.10 GMT, petisyen itu sudah mengumpul 65,762 tandatangan, lapor Sputnik/RIA Novosti. "Kami yang menurunkan tandatangan sebagai rakyat dan penduduk Kanada, menyeru Kerajaan Kanada menolak kemasukan Donald J Trump ke Kanada hingga beliau menghentikan serta tidak lagi mengeluarkan ancaman atau mengambil tindakan yang bertentangan dengan kesejahteraan rakyat Kanada, khususnya terhadap keselamatan kewangan dan kedaulatan negara kami, dengan pematuhan sebagai langkah ke arah mengatasi ketidakterimaannya," menurut dokumen itu. Rakyat Kanada mempunyai masa hingga Sabtu (22 Mac) untuk menandatangani petisyen itu. Sebelum ini, Trump berulang kali dilaporkan berkata, beliau ingin Kanada menjadi negeri ke-51 AS. Trump berkata, dengan menjadi sebahagian daripada AS akan membantu Kanada mengelakkan tarif, selain menerima manfaat lain jika melepaskan kedaulatannya. Pada awal bulan ini, AS mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua barangan bukan tenaga dan 10 peratus ke atas barangan tenaga dari Kanada, dengan alasan negara jiran itu gagal menangani isu penyeludupan dadah serta migrasi haram merentasi sempadan. Malah, Trump kemudian mengarahkan tarif sebanyak 25 peratus dikenakan secara menyeluruh terhadap semua import keluli dan aluminium. Kanada mengambil tindakan balas dengan mengenakan levi 25 peratus ke atas import AS yang bernilai hampir AS$30 bilion, selain mempertikaikan kedua-dua gelombang tarif AS di Pertubuhan Perdagangan Dunia, dengan mengemukakan permintaan untuk perundingan pada 4 dan 13 Mac lalu.. |