Isu keterjaminan makanan bukan lagi sekadar perbincangan akademik atau retorik tetapi satu keperluan mendesak.

Menyedari hakikat itu, FELCRA Berhad, di bawah-Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), terus melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

Sebagai antara penyumbang utama industri padi, FELCRA menghasilkan 1,800 metrik tan benih padi sah setiap tahun.

Pada 2024, kuota ini ditambah sebanyak 1,000 metrik tan sebagai pengiktirafan terhadap kapasiti FELCRA dalam menjamin kelangsungan industri padi negara.

Lebih membanggakan, Estet Padi FELCRA Seberang Perak yang meliputi 3,406 hektar berjaya menghasilkan 27,000 metrik tan padi setahun, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan pendapatan peserta FELCRA.

Selain padi, FELCRA juga adalah peneraju industri kelapa sawit dengan 203,380 hektar ladang di seluruh negara.

Dengan enam kilang pemprosesan minyak sawit mentah yang mampu menghasilkan lapan metrik tan minyak sawit setahun, FELCRA memastikan industri ini terus berkembang secara mampan.

FELCRA juga turut membangunkan benih anak pokok sawitnya sendiri, FELCRA Berhad DxP Seed, yang terkenal dengan kualiti tinggi dan hasil lebih produktif.

Inisiatif ini membuka peluang lebih luas dalam pembangunan ladang kelapa sawit.

Tidak sekadar mengeluarkan bahan mentah, FELCRA turut menghasilkan produk hiliran seperti Minyak Masak Hemat dan Beras Super Spesial Tempatan.

Langkah ini sekali gusmembuktikan FELCRA bukan sahaja pengeluar komoditi tetapi mampu menawarkan produk siap guna kompetitif di pasaran.

Bagi mempelbagaikan sumber makanan dan meningkatkan peluang ekonomi, FELCRA mengusahakan penanaman Nanas MD2 di FELCRA Serigala, Slim River dan Seberang Perak 12, dengan pengeluaran mencecah 150 metrik tan setahun.

Selain itu, FELCRA juga menerajui pengeluaran benih Kelapa Matag yang dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan FELCRA Berhad Nasaruddin dengan sasaran 25,000 anak benih menjelang 2030.

Bagi menjamin bekalan protein tempatan, FELCRA giat membangunkan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Sistem Tertutup di beberapa lokasi strategik, termasuk di Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

Dibangunkan dengan peruntukan RM60 juta di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-12, kompleks ini beroperasi sepenuhnya pada Februari 2025 dengan 10 reban ternakan ayam berkapasiti 30,000 ekor setiap satu.

Dengan lima pusingan setahun, jumlah keseluruhan pengeluaran ayam mencecah 1.5 juta ekor.

Selain itu, FELCRA turut membangunkan kompleks ternakan di Sungai Damak, Lipis dan Bagan Datuk, Perak.

Dalam sektor lembu fidlot, FELCRA menyasarkan pengeluaran 1,500 ekor lembu setahun bagi memenuhi permintaan tempatan.

Menyedari pentingnya keberlanjutan industri makanan negara, FELCRA juga dalam perancangan membina kilang makanan ternakan Biovalley bagi menyokong industri penternakan secara lebih holistik, dan memastikan kelangsungan keterjaminan makanan dalam pelbagai aspek.

Dengan semua inisiatif ini, FELCRA membuktikan bahawa keterjaminan makanan bukan sekadar slogan tetapi satu realiti yang diterjemahkan melalui tindakan konkrit dan strategi mampan.

Demi rakyat, demi negara, FELCRA komited menerajui industri agro ke era baharu..