| IPOH: Semua masjid di seluruh Perak akan terus melaksanakan solat sunat hajat serta doa qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin serta kehancuran rejim Zionis khususnya di Gaza. IPOH: Semua masjid di seluruh Perak akan terus melaksanakan solat sunat hajat serta doa qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin serta kehancuran rejim Zionis khususnya di Gaza. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata saranan solat hajat dan qunut nazilah sedemikian tidak perlu menunggu arahan atau anjuran pihak-pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memandangkan ia memang sedia dan lazim diamalkan di institusi agama seluruh Perak. "Sebenarnya tak perlu tunggu arahan atau anjuran daripada JAKIM, dan saya pun sudah beberapa kali solat Jumaat atau solat tarawih yang mana tok imam membaca doa qunut (nazilah) memohon bermunajat supaya Allah SWT melindungi rakyat di Gaza dan beberapa tempat lain. "Jadi pada saya tak ada masalah, dan saya ucapkan terima kasih kepada JAKIM dan juga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), juga kepada masjid di seluruh Perak. Benda itu perkara baik dan ia boleh dilaksanakan, tak perlu tunggu arahan sebenarnya," katanya. Saarani yang juga memegang portfolio Exco Agama Islam negeri berkata demikian ditemui selepas majlis penyerahan juadah Hari Raya 2025 sumbangan kerajaan negeri Perak kepada pasukan beruniform di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini. Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengarahkan semua masjid dan surau di bawah seliaan JAKIM dan JAWI melaksanakan solat hajat secara berterusan sebagai doa kepada rakyat Palestin sepanjang baki bulan Ramadan ini. Dr Mohd Na'im dilapor berkata solat hajat itu juga tanda solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin susulan tindakan kejam rejim Israel mengingkari perjanjian gencatan senjata yang berkuatkuasa pada 19 Januari lalu, dan melakukan serangan tanpa perikemanusiaan di Semenanjung Gaza.. |