GEORGETOWN: DAP Pulau Pinang meminta semua ahlinya kembali bersatu dan memberikan sokongan penuh kepada kepemimpinan baharu parti itu selepas berakhirnya pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) semalam.

GEORGETOWN: DAP Pulau Pinang meminta semua ahlinya kembali bersatu dan memberikan sokongan penuh kepada kepemimpinan baharu parti itu selepas berakhirnya pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) semalam. Setiausaha Organisasi DAP negeri, Phee Boon Chee, berkata tumpuan utama parti kini untuk memperkukuh perpaduan ahli demi memastikan kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Selepas pemilihan parti, susunan semula dan kerjasama erat dalam kalangan parti harus diberi keutamaan.

"Ini bagi menyediakan kita untuk menghadapi PRN di Sabah, Melaka dan Johor serta PRU yang dijangka dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya melalui kenyataan hari ini.

Boon Chee berkata, kemenangan dan kekalahan dalam politik lumrah, justeru mereka yang tidak terpilih dalam pemilihan parti tidak seharusnya berputus asa atau menyimpan perasaan yang boleh melemahkan parti.

"Jangan sombong ketika menang, jangan berputus asa ketika kalah.

Selepas pemilihan parti, kita perlu mengetepikan perbezaan dan bekerja secara harmoni demi matlamat yang lebih besar.

"Daripada peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi, semua perlu berganding bahu untuk memastikan parti terus kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat," katanya.

Beliau berkata, semua ahli dan pimpinan tertinggi harus terus berpegang teguh kepada prinsip parti, berkhidmat dengan penuh integriti dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Tegasnya hanya dengan perpaduan, kejayaan dapat dicapai dan beliau berharap semua rakan seperjuangan yang dipilih untuk menerajui parti dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat.

Semalam 4,203 perwakilan daripada 1,650 cawangan menghadiri kongres sehari secara fizikal di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam dan bertanggungjawab mengundi CEC DAP untuk penggal 2025-2028 yang berlangsung sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada Ahad.

Dalam pemilihan itu, Gobind Singh Deo dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan Lim Guan Eng..