GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di pedalaman daerah ini, berharap agensi kerajaan berkaitan syiar Islam terus menyantuni seramai mungkin komuniti GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di pedalaman daerah ini, berharap agensi kerajaan berkaitan syiar Islam terus menyantuni seramai mungkin komuniti itu untuk membimbing mereka yang beragama Islam menunaikan ajaran dan tuntutan agama dengan sebaiknya.

Penghulu Pos Hendrop, Bidi Ronggeng, berkata ada segelintir masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman yang beragama Islam masih tidak menjalankan ibadat puasa dengan sebaiknya kerana kurangnya pengetahuan mengenai agama.

Beliau berkata, golongan ini terutama saudara baru perlu sentiasa didekati dan diberi pengetahuan, terutama tentang ibadat wajib seperti solat dan puasa.

"Walaupun sudah ramai masyarakat Orang Asli yang menjalankan ibadat puasa, namun terdapat segelintir masih lagi tidak berpuasa dengan alasan melakukan kerja berat dan kurangnya penghayatan tentang kewajipan berpuasa.

"Kami di sini masih mengharapkan agensi pusat dan negeri serta Badan Bukan Karajaan (NGO) untuk memberi penerangan yang sebaiknya tentang ibadat yang wajib dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kampungku Bersih: Ihya Ramadan MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), JAKIM dan MAIK di Perkampungan Orang Asli Pos Hendrop di sini.

Imam Masjid Al-Hidayah Pos Hendrop, Aris Rami, 55, berkata pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan pelbagai agensi dapat membantu lebih ramai masyarakat Orang Asli untuk memahami agama islam.

Katanya, perkembangan positif bagi penduduk Orang Asli apabila mereka juga sudah mula membayar zakat fitrah yang diwajibkan ke atas mereka.

"Alhamdulillah masyarakat Orang Asli di bawah jagaan saya sudah boleh berpuasa dan satu kejayaan juga apabila kami sudah boleh mengeluarkan zakat fitrah.

"Ini adalah kefahaman dan tunjuk ajar daripada ustaz kami daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan NGO Islam yang memberi penerangan mengenai kewajipan membayar zakat fitrah," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata ada 230 KIR dan hampir 90 peratus daripadanya adalah beragama Islam.

Katanya, setiap tahun pelbagai agensi melaksanakan program iftar di perkampungan Orang Asli bagi menggalakkan masyarakat Orang Asli berpuasa serta menghayati nilai Islam.

"Selain iftar kita juga mengadakan solat tarawih berjemaah dan moreh bersama mereka.

"Semoga adanya kehadiran masyarakat luar akan menambahkan lagi semangat mereka untuk beribadat serta berpuasa pada bulan Ramadan," katanya..