KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 kampit beras diagihkan pada program khas Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan sempena Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya di Lanai@Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini semalam.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 kampit beras diagihkan pada program khas Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan sempena Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya di Lanai@Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini semalam. Program menyantuni masyarakat melalui agihan sumbangan makanan dan keperluan asas secara percuma itu turut mengagihkan 1,000 pek nasi Arab dan 1,000 bubur lambuk bagi memastikan lebih ramai keluarga dapat menikmati juadah berbuka dengan penuh keberkatan.

Inisiatif amal itu dijayakan dengan sokongan Yayasan Insan Sakan menerusi sumbangan beras, selain Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra yang menyediakan bubur lambuk serta Saloma Kuala Lumpur yang menaja nasi Arab untuk juadah berbuka.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Che Umar, berkata program berkenaan dilaksanakan dalam usaha menyemarakkan nilai kebersamaan dan keprihatinan sepanjang Ramadan, "Program ini bukan sekadar menyantuni golongan yang memerlukan, tetapi juga sebagai platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

"Kami percaya bahawa semangat memberi adalah amalan yang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Dengan adanya program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan ini, kami berharap lebih ramai dapat merasai keindahan berkongsi rezeki serta menikmati suasana berbuka puasa yang harmoni," katanya.

Program khas itu diadakan seiring dengan Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya, yang berlangsung selama sebulan penuh, menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Reruai percuma turut disediakan selama dua hari bermula kelmarin dalam usaha membantu peniaga kecil, khususnya peniaga di Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) meningkatkan jualan mereka dalam suasana lebih meriah sepanjang hujung minggu.

Karnival dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia, MaTiC dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta pelbagai agensi berkaitan lain.

Ia juga menjadi platform untuk memperkukuh semangat perpaduan serta menyemarakkan budaya memberi dalam kalangan masyarakat, selain peluang orang ramai merasai kemeriahan Ramadan melalui pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang tempoh karnival.

Untuk maklumat lanjut, layari karnivalwarisan.salomagroup.com atau laman media sosial rasmi @salomakualalumpur..