| Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang. KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang. KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menunjukkan prestasi kewangan kukuh bagi tahun 2024 dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM259.97 juta. Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, berkata keuntungan itu direkodkan oleh syarikat-syarikat aktif milikan Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), serta Lembaga Kemajuan Wilayah. “Dianggarkan jumlah keseluruhan keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat aktif milikan MARA, FELCRA Berhad, RISDA dan Lembaga Kemajuan Wilayah ialah sebanyak RM259.97 juta. “Manakala terdapat beberapa buah syarikat yang mencatatkan kerugian dengan nilai sebanyak RM47.81 juta,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Dewan Negara, hari ini. Tambahnya, KKDW komited memperkemaskan tadbir urus korporat dan kemampanan syarikat milikan agensi di bawah KKDW dengan langkah proaktif melalui penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pemantauan yang berterusan. Komitmen itu dibuat bagi memastikan syarikat-syarikat milikan agensi KKDW kekal dengan pertumbuhan prestasi kewangan dan operasi yang positif Selain itu, KKDW juga menyenaraikan 7 KPI untuk dipatuhi oleh semua syarikat milikan agensi seperti berikut: (i) Mewujudkan Pelan Antirasuah Organisasi (Organisational AntiCorruption Plan-OACP); (ii) Mewujudkan Unit Pengurusan Risiko; (iii) Mendokumen dan mengharmonikan Limit of Authority (LoA); (iv) Menggalakkan cross-selling di kalangan syarikat milikan agensi; (v) Mempelbagai penerokaan perniagaan baru; (vi) Mengekalkan nisbah kewangan yang sihat; dan (vii) Meningkatkan jaringan kolaborasi luar. Jelas beliau, KKDW sentiasa komited untuk memastikan syarikat-syarikat milikan agensinya terus berdaya maju dan optimis bahawa syarikat-syarikat ini akan terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh dan mampan dalam tahun-tahun mendatang. Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.. |