FOTO: Zahid Hamidi / Facebook SEREMBAN: Masyarakat diminta lebih berwaspada dalam menguruskan makanan sepanjang Ramadan bagi mengelakkan pembaziran.

FOTO: Zahid Hamidi / Facebook SEREMBAN: Masyarakat diminta lebih berwaspada dalam menguruskan makanan sepanjang Ramadan bagi mengelakkan pembaziran. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebanyak 75,000 tan makanan dibazirkan di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun lalu.

Ia menunjukkan peningkatan antara 15 hingga 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Negeri Sembilan antara negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi pembaziran makanan ketika Ramadan.

Ini membimbangkan kerana secara keseluruhannya, Malaysia melupuskan kira-kira 8.3 juta tan sisa makanan setiap tahun, dengan setiap individu dianggarkan menyumbang 260 kilogram makanan yang terbuang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di Masjid Al-Munawwarah, Taman Panchor Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, EXCO Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd Nor.

Menurut Zahid, daripada jumlah sisa makanan yang terbuang itu, sekitar 24 peratus atau empat hingga lima tan masih boleh dimakan.

“Pembaziran ini boleh dielakkan dengan menginfakkan makanan kepada mereka yang memerlukan, termasuk masyarakat di negara-negara miskin.

Saya mengingatkan diri saya dan semua pihak supaya tidak melakukan pembaziran makanan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa..