| Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui di Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di Masjid Al-Munawwarah, Taman Panchor Jaya, di sini, semalam. Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui di Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di Masjid Al-Munawwarah, Taman Panchor Jaya, di sini, semalam. FOTO: Zahid Hamidi / Facebook SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat Orang Asli, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, bekalan air bersih dan peningkatan sosio-ekonomi. Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) semakin menunjukkan hasil positif, termasuk peningkatan jumlah anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. “Pencapaian membanggakan direkodkan apabila jumlah anak Orang Asli yang memasuki universiti meningkat kepada 550 orang pada tahun ini, melebihi sasaran awal sebanyak 400 orang pada 2024. “Sebelum ini, JAKOA mensasarkan 300 pelajar Orang Asli memasuki universiti pada 2022, tetapi angka tersebut berjaya mencapai 430 orang,” katanya. FOTO: Zahid Hamidi / Facebook Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di Masjid Al-Munawwarah, Taman Panchor Jaya, di sini, semalam. Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat Orang Asli terus dipelihara, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan 2025 MADANI bagi membina kediaman percuma untuk golongan itu. Dana berkenaan akan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta JAKOA melalui program EPIC Homes, yang bertujuan menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada mereka yang memerlukan. “Insya-Allah, lebih banyak rumah untuk Orang Asli akan dibina di seluruh negara bagi memastikan mereka mempunyai tempat tinggal yang selesa,” katanya. Pada majlis itu, Zahid turut menyampaikan pampasan Ex-Gratia bernilai RM648,767 kepada 25 Orang Asli dari Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng, Negeri Sembilan, yang terbabit dalam projek pembinaan jalan baharu dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang. Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.. |