| Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Al-Munawwarah, Panchor Jaya. – Foto NSTP Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Al-Munawwarah, Panchor Jaya. – Foto NSTP SEREMBAN: Kerajaan akan meminda dan menambah baik Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pada persidangan Parlimen sebelum hujung tahun ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sesi libat urus sedang dijalankan bersama tok batin, pemimpin Orang Asli serta golongan intelektual bagi meneliti aspek yang perlu dimasukkan dalam pindaan tersebut. “Apabila sesi libat urus selesai dan draft awal pindaan akta dibuat, kita akan bersama dengan bahagian draft undang-undang Jabatan Peguam Negara untuk kita menyelesaikan masalah ini. “Insya-Allah setelah selesai pindaan ini akan dibawa ke jemaah menteri dan saya sendiri akan membawakannya untuk mendapatkan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen. “Paling lewat pertengahan tahun depan tetapi kita akan cuba bawa akhir tahun ini untuk bentangkan di Dewan Rakyat dan kemudian di Dewan Negara,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2025 di Masjid Al-Munawwarah, Taman Panchor Jaya, malam ini. Menurut Ahmad Zahid, pindaan akta yang berusia lebih 70 tahun itu akan membabitkan beberapa perkara, termasuk isu tanah yang sering menjadi pertikaian antara komuniti Orang Asli dengan kerajaan negeri serta tuan tanah sama ada swasta atau kerajaan, selain membabitkan istilah kawasan rayau. Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada aspek pendidikan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), selain memperkasakan keusahawanan, perumahan serta infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli. Katanya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membuat kajian perbandingan mengenai undang-undang Orang Asli Maori di New Zealand sebagai salah satu panduan dalam pindaan akta ini. Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.. |