| KUALA LUMPUR: Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini di peringkat akhir kajian empirikal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. KUALA LUMPUR: Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini di peringkat akhir kajian empirikal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Katanya, beliau kini berada di London bersama delegasi Malaysia menghadiri siri akhir lawatan kajian empirikal berhubung perkara itu. Katanya, siri kajian empirikal adalah bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi meningkatkan tadbir urus dan tatakelola negara ke arah yang lebih cemerlang untuk kesejahteraan rakyat. "Lawatan kajian empirikal ini dimulakan dengan sesi perbincangan meja bulat bersama pakar perundangan yang dihoskan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU,JPM), Fakulti Undang-Undang University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertujuan memudahcara dialog berkaitan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia. "Fokus utama sesi ini antara lain memahami struktur organisasi dan pentadbiran Peguam Negara dan Pendakwa Raya di UK susulan kajian terdahulu di Australia dan Kanada, tahun lalu. "Hasil perbincangan ini akan menjadi asas kepada cadangan model optimum yang akan diadaptasi dalam rangka kerja perundangan Malaysia," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya. Sesi itu dikendalikan pakar undang-undang dari University College London, Prof Jeff King membabitkan lebih 30 ahli panel dan penceramah yang terdiri daripada pakar perundangan serta ahli akademik dari Malaysia serta UK. Pakar dari UK yang terbabit termasuk bekas Peguam Negara UK, The Rt. Hon. Victoria Prentis KC serta bekas Pendakwa Raya England dan Wales, Sir Max Hill KCB KC. Delegasi dari Malaysia pula membabitkan Ahli Parlimen Ledang merangkap Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR), Syed Ibrahim Syed Noh; Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang UKM, Dr Nurhafilah Musa serta wakil daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) serta Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4). Turut sama, Ahli Parlimen Selayang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen, William Leong Jee Ken serta Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang mewakili blok pembangkang. Turut menyertai delegasi itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Negara, Rita Sarimah anak Patrick Sinol. Turut sama dalam lawatan ini adalah Peguam Cara II Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, pegawai-pegawai kanan BHEUU JPM dan Jabatan Peguam Negara (AGC), pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, termasuk Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab.. |