| KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Bank Negara (BNM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kumpulan Wang KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Bank Negara (BNM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membangunkan produk asas insurans kesihatan dan takaful yang menekankan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai. Timbalan Perdana Menteri, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan sektor kesihatan negara yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan akses kepada rawatan perubatan lebih mampan Katanya, langkah itu juga adalah antara beberapa langkah yang dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT). "Peningkatan inflasi kos perubatan menyebabkan peningkatan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful. "Bagi menangani perkara ini, beberapa langkah telah dikenalpasti bagi mengekang kenaikan premium MHIT iaitu pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium, pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif. "Dalam masa yang sama, inisiatif pembaharuan sektor kesihatan negara juga perlu disegerakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2024 hingga 2026," katanya dalam kenyataan, hari ini. Kenyataan itu susulan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusi Ahmad Zahid, hari ini. Yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan 11 komoditi agromakanan utama, termasuk beras, kelapa, ayam dan telur mencukupi bagi memastikan keperluan masyarakat sepanjang Ramadan serta persiapan Aidilfitri. Katanya, kerajaan juga akan memperluaskan program jualan murah seperti Jualan Rahmah Madani, Jualan Pra Syawal di Pasar Tani, dan Jualan Agro Madani bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan. "Mesyuarat turut meneliti inisiatifPertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat. "Antara inisiatif akan dipertingkatkan termasuk memastikan pemadanan pekerjaan lebih cekap, menyediakan insentif kepada majikan bagi pengambilan pekerja daripada kumpulan lebih memerlukan. "Memperkukuh perlindungan sosial untuk memberi jaminan ekonomi lebih baik kepada pekerja dan keluarga mereka," katanya. Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran kos sara hidup, termasuk melalui program peningkatan pendapatan, jualan murah dan bantuan tunai. "Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.. |