JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan syarikat perkhidmatan e-hailing seperti GoTo Group dan Grab Holdings untuk memberi bonus khas sempena cuti perayaan kepada pemandu mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan syarikat perkhidmatan e-hailing seperti GoTo Group dan Grab Holdings untuk memberi bonus khas sempena cuti perayaan kepada pemandu mereka menjelang sambutan Aidilfitri. Presiden mengumumkan keputusan itu pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif GoTo, Patrick Walujo, dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan di Jakarta pada 10 Mac lalu.

Menurut beliau, jumlah bonus akan dikira berdasarkan tahap aktiviti kerja setiap pemandu.

Butiran lanjut mengenai mekanisme pengiraan bonus akan dibincangkan secara terperinci antara syarikat-syarikat terbabit dengan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

"Terdapat kira-kira 250,000 pemandu dan penghantar barang dalam talian yang aktif sepenuh masa, serta sekitar 1.5 juta lagi yang bekerja secara sambilan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan memastikan pemandu dan pekerja penghantaran dalam talian dapat menikmati sambutan Aidilfitri dengan lebih selesa dan menggembirakan.

"Melalui dasar ini, pemandu dan penghantar dalam talian boleh menyambut Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman dalam keadaan yang baik dan lebih tenang," tambah beliau.

Prabowo turut menetapkan bahawa semua syarikat swasta dan syarikat milik pemerintah (BUMN) perlu membayar bonus cuti itu sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum cuti Aidilfitri yang dijangka disambut pada 31 Mac ini.

Pengumuman itu adalah sebahagian daripada beberapa langkah populis yang diambil Prabowo sejak kebelakangan ini dalam usaha merangsang ekonomi domestik.

Antara langkah lain termasuklah menaikkan gaji minimum melebihi jangkaan sebelum ini serta menangguhkan kenaikan cukai nilai tambah (VAT).

Beliau berharap langkah-langkah itu dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna yang kini dilihat semakin lemah.

Perbelanjaan pengguna merupakan komponen penting dalam ekonomi Indonesia, menyumbang lebih daripada separuh keluaran domestik negara.

"Pengguna domestik yang lemah adalah cabaran besar yang perlu kita atasi untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus sepanjang penggal pentadbiran saya, meningkat daripada lima peratus ketika ini," katanya.

Menurut Prabowo, beliau yakin dasar baru itu dapat membantu meningkatkan daya beli rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

"Langkah ini bukan sekadar kebajikan sosial tetapi pelaburan dalam kesejahteraan rakyat yang akhirnya akan menguntungkan seluruh ekonomi negara," katanya.

AGENSI.