KOTA BHARU: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada 20 Taman KOTA BHARU: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada 20 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang terjejas banjir.

Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz, berkata sumbangan itu diagihkan kepada 20 Tabika KEMAS yang terjejas banjir tahun lalu, masing-masing 10 di Kelantan dan 10 di Terengganu.

Beliau berkata, sumbangan itu untuk membaik pulih kemudahan tabika yang rosak berikutan ditenggelami air.

"Sumbangan diberikan kepada KEMAS kerana agensi itu memainkan peranan penting kepada komuniti di seluruh negara," katanya.

Terdahulu, Azlan menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada 20 tabika terbabit yang diwakili Pengarah KEMAS Kelantan, Wan Norlee Wan Ismail dan Penolong Pengarah Kanan KEMAS Terengganu, Norhisham Mohamad di Tabika KEMAS Nurul Ain, Kampung Machang Bubuk, Peringat di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Norlee berkata, 10 tabika yang menerima sumbangan di negeri ini membabitkan empat dalam Parlimen Ketereh, masing-masing dua di Bachok dan Machang serta masing-masing satu di Pasir Puteh dan Jeli.

Katanya, sumbangan itu dapat membantu pihak tabika terutama guru untuk membeli keperluan alat bantu mengajar.

"Kami ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan cakna memberi sumbangan yang dapat meringankan beban.

"Tahun lalu, sebanyak 178 Tabika KEMAS di Kelantan yang terjejas akibat banjir yang menyebabkan kerugian sebanyak RM3.2 juta.

Ada tabika yang ditenggelami di paras bumbung iaitu Tumpat.

"Alhamdulillah, kita juga menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM3.2 juta pada Disember lalu untuk membaik pulih kemudahan yang rosak seperti alat bantu mengajar, perabot, cat dan tandas," katanya.

Sementara itu, Norhisham berkata, 10 tabika yang terpilih menerima sumbangan daripada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP itu adalah enam di Hulu Terengganu, dua di Kuala Negeri dan masing-masing satu di Marang serta Setiu.

"Terima kasih kepada MPB kerana memberi sumbangan ini sekali gus dapat membantu anak-anak tabika belajar dalam keadaan yang selesa.

"Banjir tahun lalu menyebabkan 94 tabika di Terengganu terjejas banjir terutama yang terletak di pesisir pantai dan Hulu Terengganu dengan membabitkan nilai kerugian RM2.1 juta.

KKDW sudah memberi peruntukan sebanyak RM2.1 juta untuk membaiki kemusnahan itu," katanya..