| KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie lzette Abdul Samad akan memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. Peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata, pihaknya akan memfailkan semakan itu dalam tempoh terdekat. “Kedua-dua anak guam kami mengarahkan supaya satu permohonan semakan difailkan di Mahkamah Rayuan," kata Athimulan yang mengendalikan kes bersama peguam Dev Kumaraendran yang mewakili Zizie lzette, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry pula memohon supaya pihak pembelaan mengemukakan permohonan penangguhan perbicaraan secara bertulis selain tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan. Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad mengekalkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025, dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan kes. Mahkamah Rayuan pada 18 November lepas memerintahkan Bung Moktar dan isterinya, Zizie lzette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023. Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan Bung Moktar dan Zizie lzette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262.500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337.500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEO) yang didaftarkan atas nama Zizie lzette bagi tujuan yang sama.- Bernama. |