JERLUN: Kelemahan sistem pengairan dan saliran di kawasan sawah dikenal pasti menjadi punca utama pengurangan hasil padi negara.

JERLUN: Kelemahan sistem pengairan dan saliran di kawasan sawah dikenal pasti menjadi punca utama pengurangan hasil padi negara. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata isu struktural itu perlu ditangani sewajarnya demi kelangsungan keselamatan makanan negara.

"Berikutan masalah itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun bagi membolehkan bekalan padi dan beras dapat dikeluarkan secara konsisten.

"Sistem pengairan yang dibangunkan sejak sekian lama perlu dibuat penyelenggaraan secara berterusan dan ini membabitkan kos yang tinggi, sebab itu Perdana Menteri telah umumkan projek itu di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Projek infrastruktur ini dilaksanakan berkonsepkan kerjasama awam swasta di mana pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur penanaman padi di Kawasan Muda ini akan dibiayai sepenuhnya terlebih dahulu oleh pihak swasta dan akan dibayar semula oleh kerajaan kepada syarikat yang terlibat selepas projek siap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Kumpulan Syarikat MMC melalui Syarikat MMC Infra Padi Sdn Bhd berjaya membida projek Fasa Satu bagi membangun dan membuat penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (Projek Satu) dan Pembangunan Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu (Projek Dua) di bawah Fasa Satu dengan kos RM1 billion.

"Proses menandatangani perjanjian konsesi ini sudah diadakan pada 19 Disember lalu.

Saya berharap kita dapat memperkasakan kembali industri padi yang sangat strategik ini bagi memastikan keperluan beras rakyat sentiasa cukup dan terjamin tanpa mengabaikan kebajikan golongan pesawah dan pemain industri.

"Bagi makluman semua, penggunaan beras per kapita di Malaysia adalah pada kadar 76.7 kilogram (kg) setiap individu setahun.

Penggunaan yang tinggi ini adalah tidak selari dengan pengeluaran beras di Malaysia dan keperluan import telah menjadi keutamaan.

"Berdasarkan statistik, jumlah import beras negara berjumlah 1.28 juta tan pada 2023.

Sungguhpun jumlah pesawah di Malaysia adalah melebihi 230 ribu orang dan mengusahakan tanah berkeluasan melebihi 614,000 hektar iaitu dengan keupayaan pengeluaran padi 2.18 juta tan (beras 1.50 juta tan), namun pengeluaran domestik masih belum cukup menampung keperluan rakyat.

Mohamad berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama erat daripada kerajaan Kedah dan Perlis untuk sama berbanding bahu dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dalam waktu yang ditetapkan dan seterusnya memberi manfaat kepada golongan pesawah..