| BESUT - Seorang pesara guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) tidak menyangka kek marble yang pada asalnya dihidang untuk menjamu rakan mengaji al-Quran kini menjadi sumber pendapatan sampingannya hingga mencecah RM5.000 sebulan. Che Jah Husin, 65, mula serius mengusahakan kek itu setelah bersara lima tahun lalu dan kini menerima tempahan purata 300 biji kek marble sebulan. Katanya, perniagaan kecil-kecilan itu juga sebagai terapi bagi mengurangkan kesakitan akibat penyakit tumor perut yang sedang dihadapinya. “Kek mable masih diminati ramai khususnya sebagai hidangan sampingan untuk majlis keraian dan kenduri. Saya hasilkan enam jenis kek marble seperti coklat, oren, strawberi dan pandan. “Sebiji kek marble dijual pada harga antara RM18 hingga RM35 mengikut saiz dan jenis,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Medan di sini kelmarin. Menurutnya, dia turut menghantar potongan kecil kek marble tersebut ke gerai-gerai menjual sarapan pagi di sekitar daerah ini dan setiap bungkus dijual pada harga RM3.. |