ROMPIN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan mengetengahkan calon memiliki kriteria dan ciri 'WALI' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak.

ROMPIN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan mengetengahkan calon memiliki kriteria dan ciri 'WALI' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak. Tegas Presiden UMNO itu, kriteria boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disenangi (likeable) akan menjadi asas bagi calon bakal membawa perjuangan Barisan Nasional (BN) kelak.

Beliau akan berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan pimpinan UMNO Bahagian Tapah untuk mengenal pasti calon bersesuaian.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan akan dilakukan secara kekeluargaan UMNO.

"Kita beri peluang kepada semua kumpulan (ketua bahagian, wanita, pemuda, puteri dan ahli jawatankuasa UMNO) sebelum kita senarai pendek calon," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging FELCRA Berhad (sistem tertutup) di Tanjung Seratus, Kuala Rompin di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob an Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid ditanya mengenai kenyataan Pemuda UMNO yang dilapor mempunyai calon berpotensi dan tidak menolak kemungkinan melobi bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong selepas kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Sehubungan itu, PRK DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.

Pada Pilihan Raya UMUM Ke-15 (PRU15), Ishsam mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586)..