SELANGAU: Syarikat yang mengusahakan penanaman kelapa sawit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin disaran agar lebih prihatin terhadap kebajikan penduduk setempat, khususnya ketika berlakunya bencana alam seperti banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, sekitar 20,000 hektar tanah di kawasan berkenaan diusahakan oleh lima hingga enam syarikat, namun mereka dilihat kurang memainkan peranan dalam membantu masyarakat setempat ketika bencana.

"Sebagai contoh, ketika kawasan DUN Tamin dilanda banjir, tiada seorang pun wakil syarikat turun padang membantu penduduk yang memerlukan.

"Sepatutnya mereka tampil membantu dengan menyediakan makanan, pakaian serta memindahkan penduduk ke penempatan sementara," katanya ketika ditemui selepas Perasmian Penyerahan Van Jenazah dan Sumbangan lnisiatif Tanggungjawab Sosial (CSR) FELCRA Berhad, baru-baru ini.

Beliau berharap syarikat yang terlibat dapat menjalinkan kerjasama erat dengan penduduk setempat bagi meringankan beban mereka ketika menghadapi bencana alam.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha FELCRA Berhad yang telah memberikan sumbangan kepada peserta di kawasan berkenaan.

"Sebagai contoh, hari ini saya difahamkan mereka telah menyerahkan sebuah van jenazah untuk kegunaan masyarakat di sini.

"Selain itu, syarikat ini juga membantu anak-anak sekolah sekiranya berlaku kematian atau banjir," katanya.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini wajar dicontohi oleh syarikat lain selaras dengan tanggungjawab sosial mereka untuk memastikan penduduk mendapat bantuan sewajarnya..