| JARAK antara sekolah dan rumah yang mencecah 90 kilometer (km) menyebabkan sebahagian ibu bapa Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, memilih untuk menghantar anak mereka ke Pusat Pendidikan Komuniti. JARAK antara sekolah dan rumah yang mencecah 90 kilometer (km) menyebabkan sebahagian ibu bapa Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, memilih untuk menghantar anak mereka ke Pusat Pendidikan Komuniti. Di situ, anak menerima pendidikan awal daripada empat guru wanita Orang Asli yang akan membantu sedaya upaya menyediakan mereka dengan asas membaca, menulis dan mengira, sebelum masuk ke sekolah aliran perdana pada usia 10 tahun. Seorang daripada empat guru berkenaan, Malina Jasmin ,37, berkata sehingga kini terdapat 40 murid berusia antara empat sehingga sembilan tahun belajar di situ. Maslina berkata, ibu bapa Orang Asli di Pos Gob tidak mahu menghantar anak mereka yang masih kecil ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis kerana jaraknya jauh, selain risiko anak akan tidur dalam hutan, seandainya jalan dan kenderaan yang membawa mereka rosak dalam perjalanan. "Pos Gob terletak 100km dari Gua Musang, jadi kanak-kanak Orang Asli ini biasanya akan dihantar ke sekolah kebangsaan apabila memasuki Tahun Lima, iaitu berusia 10 tahun. "Pada usia 10 tahun, mereka biasanya sudah pandai untuk mengurus diri sekiranya berjauhan dengan keluarga," katanya yang berpengalaman mengajar anak Orang Asli selama lebih 10 tahun. Bapa seorang daripada murid, Liman Alang berkata, jarak yang terlalu jauh antara sekolah dan kampung menyebabkan kebanyakan penduduk bimbang untuk menghantar anak seawal usia tujuh tahun ke sekolah aliran perdana. Katanya, walaupun pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ada menyediakan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar murid-murid ke sekolah, mereka terpaksa menempuh perjalanan melalui jalan tanah merah dan berbatu sejauh 90km setiap hari. "Selain perjalanan yang jauh, keadaan jalan yang rosak dan licin pada musim hujan juga antara faktor penghalang, sekali gusi menambahkan kebimbangan ibu bapa untuk membenarkan anak ke sekolah," katanya. Pusat Pendidikan Komuniti itu yang ditubuhkan dalam penempatan berkenaan, awalnya diusahakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama CIMB Islamic sejak tujuh tahun. Bagaimanapun pembiayaan projek itu sudah tamat sejak 2022, sebelum Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tampil membantu dengan menyediakan elaun kepada empat guru terbabit berjumlah RM500 sebulan pada tahun sama. Bagaimanapun, Maslina berkata, elaun itu digunakan untuk membeli dan menyediakan bahan bantu mengajar serta mencetak kertas latihan murid. Tidak hanya kekurangan dana dalam pengoperasian pusat pendidikan komuniti itu, lebih menyedihkan apabila struktur pusat berkenaan dalam keadaan daif dan banyak kekurangan peralatan seperti kerusi dan meja sehingga memaksa murid belajar di lantai. "Bukan setakat tiada dana untuk penyediaan bahan bantu mengajar sehingga terpaksa menggunakan elaun sendiri untuk mendidik anak Orang Asli di sini, keadaan sekolah ini juga sangat daif. "Kebanyakan struktur dinding dan lantai buluh juga semakin mereput dan pagar rosak serta boleh membahayakan keselamatan murid di sini. "Jadi, kami sangat berharap lebih ramai pihak yang sudi menyumbang bagi membantu kami untuk menguruskan pusat ini dan murid dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa," katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abduk Ghani ketika meninjau Pusat Pendidikan Komuniti berkenaan. NSTP/Paya Linda Yahya. Seorang lagi tenaga pengajar, Sikin Azmi, 30, berkata pusat pendidikan itu juga kekurangan peralatan seperti meja, lampu solar serta kipas sehingga murid belajar dengan keadaan tidak selesa. "Kami memerlukan kerusi, meja dan peralatan sekolah termasuklah buku. Kerusi yang ada ketika ini tidak cukup untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah. "Kebanyakan murid juga belajar dengan duduk bersila di atas lantai buluh serta dalam keadaan kepanasan kerana tiada kipas dan lampu solar juga rosak," katanya. Bagaimanapun, berdasarkan jarak yang terlalu jauh untuk anak-anak Pos Gob berulang alik ke SK Kuala Betis, Sikin berharap pusat pendidikan itu diteruskan. "Saya faham ibu bapa risau anak mereka dihantar ke sekolah yang terlalu jauh dari rumah dalam usia terlalu kecil. Kalau sebab itu mereka tidak dapat pendidikan, saya memang rasa amat kecewa. "Sebab itu kami berempat tampil membantu, kami mahu mereka mendapat pendidikan sebaiknya," katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang meninjau Pusat Pendidikan Komuniti berkenaan berkata, pihaknya akan berusaha mencari penyumbang demi pendidikan anak Orang Asli di Pos Gob. Katanya, dia melihat perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di Pos Gob memberangsangkan dengan bantuan guru berkenaan. "Saya dimaklumkan MAIK sudah mengambil alih pusat ini dan kontrak akan berakhir pada Mac tahun ini. "Kita sedang berusaha untuk membantu pusat pendidikan ini bagi mencari lebih banyak dana dan penyumbang baharu. Saya amat mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak korporat untuk membantu pendidikan kanak-kanak Orang Asli di sini," katanya. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, pihaknya memajukan perkara itu kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH ) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk makluman.. |