Februari 23, 2025, Ahad - 7:00am Oleh Hamzah Sanudin TAWAU: Program Sentuhan Kasih Desa yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Februari 23, 2025, Ahad - 7:00am Oleh Hamzah Sanudin TAWAU: Program Sentuhan Kasih Desa yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mampu membantu usahawan memasarkan produk mereka kepada masyarakat di daerah ini.

Program yang dilaksanakan selama tiga hari ini melibatkan empat agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Berhad.

Seramai hampir 90 usahawan luar bandar bimbingan agensi MARA, RISDA dan FELCRA di sekitar daerah Tawau terlibat dalam program yang dianjurkan ini.

Rata-rata usahawan yang ditemui menzahirkan rasa syukur kepada KKDW kerana menganjurkan program ini, sekali gus dapat membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Pemilik U.N.I.

Klinik Tawau, Dr Fazliana Edora Abdul Kadir berkata program yang dianjurkan oleh KKDW ini dapat membantu memperkenalkan perkhidmatan mereka kepada masyarakat di sini.

Katanya, melalui program sebegini, U.N.I.

Klinik Tawau yang baharu bertapak selama enam bulan di daerah Tawau dapat dikenali oleh penduduk di daerah Tawau dan sekitarnya.

“U.N.I.

Klinik adalah salah satu program MARA dan sejak dari awal penubuhannya mendapat bantuan daripada pihak MARA termasuklah mempromosikan perkhidmatan yang disediakan.

“Jadi, saya sangat berterima kasih kepada KKDW dan MARA kerana menganjurkan program sebegini yang dilihat banyak membantu terutamanya usahawan luar bandar.

“Kami diberikan tapak secara percuma sepanjang program ini berlangsung dan ia dapat meringankan kos operasi serta dapat membantu kami memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Dr Fazliana berkata, pihak MARA banyak membantu dan mengajar para doktor untuk mengubah profesion daripada seorang pengamal perubatan kepada keusahawanan.

“Kami juga telah mendapat pinjaman MARA sejak mula klinik ini dibuka termasuklah bantuan dari segi kursus dan cara menjadi seorang usahawan.

“Harapan saya untuk masa hadapan, U.N.I.

Klinik Tawau mampu memberi perkhidmatan kepada semua golongan termasuk B40,” katanya.

Pegawai Sumber Manusia Syarikat Rosmie Snack Industry Sdn Bhd, Anuar Berahim pula berkata Program Sentuhan Kasih Desa ini dapat memberikan peluang mempromosikan produk keropok ampelang yang mereka hasilkan.

Katanya, pihak kerajaan terutamanya KKDW sememangnya banyak membantu usahawan luar bandar memasarkan produk-produk yang dihasilkan sama ada di peringkat tempatan mahupun luar negara.

“Program ini dilihat salah satu usaha KKDW membantu kami sebagai usahawan supaya masyarakat tempatan dapat mengenali lagi produk-produk kami.

“Melalui program ini juga kami dapat memperkenalkan produk kami kepada orang ramai secara percuma berbanding mengikuti ekspo yang berbayar,” katanya.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan menerusi bantuan KKDW di bawah agensinya memang banyak membantu syarikat kami termasuklah bantuan mesin dan pemasaran ke luar negara.

“Kami sudah pernah mengikuti ekspo-ekspo di luar negara seperti Dubai, Jepun, China, Indonesia, Brunei dan Filipina yang dibantu oleh pihak kerajaan.

“Saya berharap KKDW dapat mengadakan program-program sebegini pada masa hadapan sama ada di dalam mahupun luar daerah Tawau,” katanya..