IPOH: Perak melihat tiada keperluan bagi membenarkan kakitangan awam di negeri ini pulang lebih awal setiap Jumaat sempena Ramadan seperti dilaksanakan di beberapa negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

IPOH: Perak melihat tiada keperluan bagi membenarkan kakitangan awam di negeri ini pulang lebih awal setiap Jumaat sempena Ramadan seperti dilaksanakan di beberapa negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. "Saya belum lagi bawa dalam mesyuarat EXCO sebab setakat ini kita nampak tiada keperluan untuk membuat keputusan itu.

Tengoklah dulu apa kelebihan dan apa kelemahannya? Apa tujuannya, kita kena tengok.

"Sebab pada saya bulan Ramadan ini ialah bulan untuk beribadah, dan bekerja juga usatu ibadah.

Kalau bagi separuh hari (kerja) melilau ke lain tempat, bagaimana? " katanya.

Saarani berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Kad Perak Sejahtera Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Sebelum ini Pahang dan Negeri Sembilan (NS) menetapkan kakitangan awam di negeri terbabit berpeluang pulang lebih awal setiap Jumaat sempena Ramadan pada awal bulan depan.

Pahang membenarkan penjawat awam termasuk membabitkan semua jabatan negeri, Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri pulang seawal jam 12.30 tengahari.

Kerajaan Negeri Sembilan pula dilapor membenarkan 2,500 penjawat awam wanita yang bekerja di bawah pentadbiran kerajaan negeri pulang seawal jam 2 petang.

Sementara itu, Saarani berkata untuk tahun 2025, kerajaan Perak memperuntukkan RM30.22 juta bagi program kesejahteraan rakyat dalam memastikan bantuan sampai terus kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, ia termasuk RM24 juta untuk Kad Perak Sejahtera (KPS), RM5 juta bagi bantuan Kotak Makanan, RM820,000 untuk program Kedai Bergerak Negeri Perak dan RM400,000 bagi Jualan Rahmah.

Program KPS adalah bantuan kewangan RM100 setiap bulan yang berbentuk sokongan berterusan bagi memastikan keperluan asas rakyat sentiasa terjamin, di mana penerima dapat membeli keperluan asas seperti makanan, lampin pakai buang, serta keperluan harian lain di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar di seluruh negeri..