Februari 21, 2025, Jumaat - 2:03pm SEKUAU: Syarikat-syarikat yang mengusahakan penanaman kelapa sawit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin Februari 21, 2025, Jumaat - 2:03pm SEKUAU: Syarikat-syarikat yang mengusahakan penanaman kelapa sawit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin disaran agar lebih prihatin terhadap kebajikan penduduk setempat, khususnya ketika berlakunya bencana alam seperti banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata, terdapat kira-kira 20,000 hektar tanah di kawasan berkenaan yang diusahakan lima hingga enam syarikat.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kekecewaan kerana syarikat-syarikat terbabit kurang memainkan peranan dalam membantu masyarakat setempat.

“Sebagai contoh, ketika kawasan DUN Tamin dilanda banjir tiada seorang pun wakil syarikat turun padang membantu penduduk yang memerlukan.

“Sepatutnya mereka tampil membantu dengan menyediakan makanan, pakaian dan memindahkan penduduk ke penempatan sementara,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penyerahan Van Jenazah dan Sumbangan inisiatif Tanggungjawab Sosial (CSR) FELCRA Berhad di sini, hari ini.

Beliau berharap agar syarikat-syarikat berkenaan dapat menjalinkan kerjasama erat dengan penduduk setempat bagi meringankan beban mereka ketika berdepan bencana.

Dalam pada itu, Christopher memuji langkah FELCRA Berhad yang telah memberikan sumbangan kepada peserta di kawasan berkenaan.

“Sebagai contoh, hari ini saya difahamkan mereka telah menyerahkan sebuah van jenazah untuk kegunaan masyarakat di sini.

“Selain itu, syarikat ini juga membantu anak-anak sekolah sekiranya berlaku kematian atau banjir,” ujar beliau.

Katanya, inisiatif seperti ini wajar dicontohi oleh syarikat lain selaras dengan tanggungjawab sosial mereka untuk memastikan penduduk mendapat bantuan sewajarnya..