| SEMENTARA itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan tiga saranan yang boleh dipertimbangkan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk. Beliau berkata, pihak berkuasa perlu membuat penambahbaikan intrastruktur dengan membesarkan parit dan membina saluran lebih luas serta mengurangkan halangan. “Kerajaan negeri dan PBT juga boleh mempertimbangkan untuk membangunkan saliran bertingkat atau bawah tanah bagi membantu menampung lebih banyak air hujan yang turun dalam jangka masa pendek. “Selain itu, kawasan hijau di sekitar Jalan Kebun perlu ditingkatkan supaya dapat menyerap air lebih baik seperti menambah pokok dan rumput untuk penyerapan air. “Tetapi dalam masa sama, pembangunan juga perlu dikawal kerana pembinaan yang tidak melihat kepada sistem saliran yang sesuai boleh memburukkan lagi masalah banjir kilat,” katanya. Bagaimanapun, Lam Thye berkata, walaupun saranan itu mungkin melibatkan kos atau peruntukan yang besar untuk dilaksanakan tetapi wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan PBT. “Dengan melaksanakan langkahlangkah ini, masalah banjir kilat di kawasan tersebut dapat dikurangkan atau diatasi dengan lebih berkesan. “Saya taham mungkin melibatkan kos yang besar tetapi untuk kesejahteraan rakyat, apa salahnya. Saya bersimpati dengan nasib penduduk dan mangsa banjir serta berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.. |