| Februari 18, 2025, Selasa - 6:30pm Oleh Nurin Abdullah KUALA LUMPUR: Ekosistem keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus Februari 18, 2025, Selasa - 6:30pm Oleh Nurin Abdullah KUALA LUMPUR: Ekosistem keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan, khususnya dalam kalangan kategori PICO dan NANO, untuk berkembang ke tahap MIKRO. Inisiatif ini memberikan manfaat besar kepada usahawan wanita luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak. Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang, memaklumkan bahawa 55 peratus daripada 55,000 usahawan yang berdaftar dalam pangkalan data KKDW terdiri daripada kategori PICO. Sehubungan itu, mereka perlu merebut peluang dalam inisiatif digitalisasi oleh MARA bagi meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing. “Saya berpuas hati dengan usaha membangunkan usahawan, namun masih banyak ruang yang perlu dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan pada program BLESS Talk siri 1/2025. “Kalau PICO dan NANO dapat kita naik taraf kepada MIKRO, ini satu kejayaan yang patut kita banggakan,” tambah beliau. Program BLESS Talk tersebut menampilkan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Dato' Zulfikri Osman dan dihadiri oleh 200 usahawan MARA. Dalam sesi berkenaan, Rubiah turut menggariskan cabaran yang dihadapi usahawan di Sabah dan Sarawak, terutama dari segi akses kepada latihan serta pembangunan kemahiran. Bagi mengatasi cabaran tersebut, KKDW bersama agensi di bawahnya, khususnya MARA, akan terus memperkukuh sistem sokongan keusahawanan bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan mampu memberi impak positif serta membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pengarah MARA Dato' Sri Azhar Abdul Manaf, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Ismasuhaimi Shariff, serta barisan pengurusan MARA dan subsidiarinya.. |