| MELAKA: Warga pendidik yang berpotensi berpeluang dihantar menjalani kursus di luar negara dalam bidang kepimpinan dan kecerdasan buatan (AI) menerusi peruntukan RM9 juta yang diluluskan minggu lalu bermula tahun ini. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi berkata, guru yang terpilih akan dihantar menjalani latihan di beberapa institusi ternama termasuk di Singapura dan Amerika Syarikat (AS). Katanya, antara 20 hingga 50 guru dirancang akan dihantar bagi menjalani kursus yang akan mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan. Menurutnya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Pengarah Pendidikan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti guru yang sedang berkhidmat sama ada di peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah. Beliau berkata, kementerian memerlukan tempoh antara sebulan atau dua bulan bagi mengenal pasti calon serta universiti ternama bagi menjalani kursus tersebut. “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menyebut berulang kali mengenai kualiti akses pendidikan negara, beliau bukan hanya bercakap mengenai infra atau kurikulum tetapi guru yang mengajar itu juga harus ditingkatkan kemahiran mentadbir. “Ini sudah tentunya ingin melahirkan masyarakat madani lebih kompeten, ihsan serta pihatin dan saya rasa usaha menghantar guru ke luar negara adalah relevanujarnya kepada pemberita sempena lawatan kerja hari pertama pembukaan persekolahan sesi akademik 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru di sini semalam.. |