Port Dickson: Lebih 70 peratus daripada hampir 60,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Pra-Tahfiz di seluruh negara berjaya menguasai lebih 10 surah pendek (Juz Amma) al-Quran, tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, pencapaian membabitkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun itu perkara membanggakan sekali gus memperkasakan mereka untuk mencintai al-Quran.

“Lebih menarik apabila kita adakan taklimat mengenai pelaksanaan Tabika Pra-Tahfiz baru-baru ini, ada sesetengah tabika dan anak-anak taska berhampiran yang berusia tiga dan empat tahun juga mula mengikuti program itu. “Mereka (murid tabika) masuk pada awalnya memang tiada ada asas tetapi selepas mengikuti silibus Pra-Tahfiz, Alhamdulillah (mula kuasai surah). Insya-Allah tahun ini kita akan lihat pertambahan murid kerana jumlah kelas juga bertambah,” katanya selepas meninjau sesi persekolahan Tabika Kemas, di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dilaporkan berkata, Kemas akan memperluaskan pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak dengan penubuhan 4,000 kelas Tabika Pra-Tahfiz membabitkan 60,000 kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.

Mohd Hanafiah berkata, program berkenaan dilaksanakan secara rintis di 100 Tabika Kemas membabitkan 1,500 kanak-kanak pada 2023 dan penyertaannya meningkat hampir 60,000 kanak-kanak pada 2024.

Menurutnya, pihaknya juga akan meneliti langkah seterusnya termasuk menawarkan ibu bapa supaya menghantar anak-anak ke program hafazan walaupun mereka sudah menamatkan pengajian di tabika.

“Apabila mereka tinggalkan tabika akan terhenti daripada program ini, jadi tahun ini mana-mana yang menguasai lebih 20 surah, kita tawarkan kalau ibu bapa nak hantar semula anak-anak ke Tabika Kemas sebelah petang untuk teruskan program hafazan ini... kita juga ada program Pelita@Kemas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 229,325 kanak-kanak berusia empat, lima dan enam tahun mendaftar di Tabika Kemas seluruh negara dengan 10,025 daripadanya adalah di Negeri Sembilan..