Oleh NOR SHAPAWATI YUP PORT DICKSON - Lebih 70 peratus daripada keseluruhan 55,269 kanak-kanak yang mengikuti Program Pra Tahfiz Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berjaya menguasai 10 surah daripada Juzuk 30 (Juzuk Amma) tahun lalu.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, pencapaian itu sesuatu yang membanggakan bagi kanakkanak seawal usia lima hingga enam tahun menguasai al-Quran.

"Pencapaian 70 peratus itu selepas anak-anak ini memasuki Program Pra Tahfiz Tabika Kemas yang pada awalnya tanpa sebarang asas akhirnya dapat menguasai 10 surah.

"Bagi tahun ini, jumlah itu akan bertambah, sehingga 120,000 kanak-kanak apabila Kemas melaksanakan perluasan sebanyak 4,000 kelas tabika pratahfiz melibatkan 60,000 kanakkanak,” katanya selepas melawat hari pertama sesi persekolahan 2025 di Tabika Kemas Berkembar Taman Politeknik di sini.

Mohd. Hanafiah berkata, sebagai lanjutan kepada program pratahfiz, Kemas akan memperkenalkan Program Efikasi Literasi Tahmidi Ulul Albab atau Pelita@Kemas bagi anak-anak menguasai lebih 20 surah setelah menamatkan pendidikan di peringkat tabika.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kemas sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan proses pendaftaran Tabika secara terbuka bermula tahun hadapan bagi memenuhi harapan ibu bapa menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan awal.

“Sekarang kita ambil pendekatan first come first serued, Kami saban tahun ada reserue list tetapi ramai terpaksa ditolak kerana keadaan kelas yang sudah penuh,” katanya.

Jelasnya, pada tahun ini seramai 229,325 kanak-kanak mendaftar di Tabika Kemas seluruh negara melibatkan 10,626 buah kelas.

Sementara itu, Ahnaf Anaqi Muhammad Muis, 6, yang ditemui melahirkan rasa teruja memulakan persekolahan hari ini selepas bercuti panjang.

“Saya gembira pergi sekolah dan bangun awal hari ini, saya dah pandai alif ba ta dan baca Qulhuwallah.. (surah al-Ikhlas),” katanya..