| KUALA LUMPUR — Dua subkontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) pada Isnin 17 Jan memfailkan saman KUALA LUMPUR — Dua subkontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) pada Isnin 17 Jan memfailkan saman lebih RM500 juta terhadap sebuah unit Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), yang dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB). Subkontraktor tersebut — Syarikat Muhibah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd (SMPP) dan Gabungan Strategik Sdn Bhd (GBG) — menyaman anak syarikat Prolintas, Turnpike Synergy Sdn Bhd, bersama beberapa pegawai kanan Prolintas serta satu lagi subkontraktor, Satunas Technology Sdn Bhd. Memerik The Edge, SMPP dan GBG mendakwa bahawa para defendan telah menyebabkan mereka mengalami kerugian serta menjejaskan reputasi mereka semasa pelaksanaan projek. GBG merupakan anak syarikat milik penuh syarikat tersenarai awam, Gabungan AQRS Bhd. Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, Gabungan AQRS mengesahkan bahawa writ saman telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ia turut menyatakan bahawa writ dan pernyataan tuntutan itu tidak dijangka memberi kesan kewangan material kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, sementara menunggu keputusan litigasi. Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan oleh peguam SMPP dan GBG, Tetuan Lim Chee Wee Partnership, saman tersebut turut menamakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi (COO) Rostam Sharif Tami, dan Pengurus Projek Zairulnizam Rohani sebagai defendan. SMPP dan GBG mendakwa bahawa mereka telah dilantik sebagai subkontraktor bagi kerja-kerja struktur jambatan projek (pakej SUKE-CA3), serta pembinaan jalan utama dan kerja berkaitan dari rantaian 4200 hingga 7800. Kedua-dua subkontraktor ini merupakan rakan kerjasama dalam menyiapkan projek tersebut. Bagaimanapun, Azlan dan wakilnya, Rostam serta Zairulnizam, didakwa menguruskan projek CA3 dengan cara yang merugikan SMPP dan GBG, menyebabkan mereka mengalami kerugian serta kerosakan reputasi. Mereka mendakwa bahawa Turnpike, Azlan, Rostam dan/atau Zairulnizam telah: – Berkomplot dalam merancang dan melaksanakan skim untuk mencederakan SMPP, menyebabkan SMPP mengalami kerugian dan kerosakan; – Melengahkan sebarang semakan dan/atau menolak permohonan lanjutan masa oleh SMPP secara tidak munasabah; – Menilai kerja-kerja yang dilakukan oleh SMPP di bawah nilai sebenar; dan – Sengaja enggan memperakui kerja variasi yang telah dijalankan oleh SMPP. Walaupun beberapa kerja variasi telah “diakui” dan dibayar oleh Turnpike, mereka tidak menyemak semula harga kontrak untuk mencerminkan variasi tersebut, menurut SMPP dan GBG. Mereka juga mendakwa bahawa para defendan telah melantik kontraktor “step-in” dan menerima rasuah daripada mereka. SMPP dan GBG berpendapat bahawa pengurusan projek CA3 oleh Turnpike dan/atau Azlan menunjukkan corak tindakan yang direka untuk merugikan serta menyebabkan kerugian kepada mereka. Justeru, SMPP dan GBG menuntut ganti rugi sebanyak RM501,278,960.58. Bulan lalu, Rostam dan Zairulnizam telah didakwa atas kesalahan rasuah. Rostam mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM70,000 daripada Satunas Technology sebagai balasan untuk meluluskan pakej kerja berkaitan projek SUKE, manakala Zairulnizam mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembinaan lebuh raya dua tahun lalu. Menurut kenyataan Prolintas pada akhir Januari, kedua-dua individu ini telah diletakkan dalam cuti sementara sejak Julai tahun lalu. Azlan, yang juga merupakan Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Prolintas Managers Sdn Bhd — pengurus kepada Prolintas Infra Business Trust — telah melepaskan jawatan tersebut pada 3 Februari atas alasan komitmen peribadi lain. Prolintas Managers “menjauhkan diri” daripada kes rasuah tersebut, dengan menegaskan bahawa kedua-dua individu yang didakwa tidak mempunyai kaitan dengan operasi Prolintas Infra Business Trust. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan telah menahan lima individu yang memiliki sebuah syarikat dan didakwa menawarkan rasuah berkaitan projek lebuh raya. Prolintas memegang 51.02% kepentingan dalam Prolintas Infra Business Trust. — BebasNews. |