| pengenalan cukai baharu yang akan dilaksanakan kerajaan perlu menggunakan pendekatan lebih inklusif dan berkesan bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sektor kritikal seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta golongan B40. Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan melakukan pengecualian atau pengurangan cukai sementara bagi syarikat kecil yang baru berkembang untuk memberi mereka ruang menyesuaikan diri. Katanya, insentif pelaburan dalam pendigitalan dan automasi seperti rebat cukai untuk penggunaan perisian perakaunan dan sistem e-dagang. “Selain itu, pelepasan cukai individu lebih tinggi untuk golongan B40 juga perlu diberikan bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup termasuk memberi bantuan subsidi secara bersasar seperti subsidi makanan dan pengangkutan untuk mengurangkan beban perbelanjaan harian. “Paling penting pengenalan cukai baharu harus dilakukan secara bertahap untuk memberi masa kepada PMKS dan pengguna untuk menyesuaikan diri dengan perubahan terbabit,” katanya kepada Bisnes Metro. Menurutnya, kajian impak ekonomi secara berkala sebelum pelaksanaan penuh cukai baharu perlu dilakukan bagi memastikan kesan negatif dapat dikawal. Beliau berkata, PMKS juga perlu dibantu melalui program pendidikan untuk memahami sistem cukai dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik termasuk mengurangan kos pematuhan cukai melalui penyediaan sistem e-filing yang lebih mesra pengguna untuk syarikat kecil dan sederhana. “Pengenalan cukai baharu adalah langkah penting dalam memastikan kestabilan kewangan negara dan pendekatan dasar yang lebih seimbang, termasuk insentif cukai, pelepasan khas dan pengenalan secara bertahap adalah penting bagi memastikan cukai baharu ini tidak menjejaskan daya saing perniagaan, kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara. “Langkah mitigasi yang berkesan akan memastikan bahawa Malaysia dapat mencapai matlamat fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.. |